Bilangan pekerja asing disaring positif Covid-19 naik lagi  - Utusan Malaysia

Bilangan pekerja asing disaring positif Covid-19 naik lagi 

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah pekerja warga asing yang didapati positif wabak Covid-19 setelah melalui proses saringan wajib di seluruh negara semalam terus lagi mencatatkan kenaikan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Sumber Manusia mengesahkan 88 orang positif semalam berbanding 56 orang dicatatkan kelmarin.

“Pihak kementerian itu memaklumkan sejumlah 5,036 pekerja warga asing sudah menjalani saringan tersebut di seluruh negara semalam,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Secara kumulatif ujarnya lagi, sejak 1 Disember tahun lalu, seramai 598,790 individu selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 31,275 majikan.

Daripada jumlah tersebut ujarnya, hanya 9,500 pekerja warga asing disahkan positif wabak maut berkenaan, manakala selebihnya pula iaitu seramai 589,290 orang lagi adalah negatif.

Sebanyak 1,517 klinik terlibat dalam program khas itu selaras arahan kerajaan mewajibkan pekerja asing menjalani ujian dengan kos saringan perlu ditanggung majikan masing-masing.

Mulai 1 Februari lepas, saringan dibuat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tersebut meliputi seluruh negara berbanding empat negeri dan dua Wilayah Persekutuan sebelum itu.

Majikan turut diberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan Pas Lawatan Kerja Sementara untuk pekerja mereka tidak akan diperbaharui Jabatan Imigresen.

Keperluan ujian ini diwajibkan oleh kerajaan menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dengan pematuhan dipantau oleh Kementerian Sumber Manusia.

Proses saringan tersebut, hanya menggunakan kaedah RTK Antigen yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan dengan kos kit ujian tersebut pula dibiayai sepenuhnya pihak Perkeso.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa sejumlah 38 tapak binaan yang beroperasi di seluruh negara semalam.

“Kesemuanya didapati mematuhi peraturan dan sejak 20 April tahun lalu, 9,092 tapak binaan di negara ini diperiksa bagi kekang penularan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN