Bayi 7 bulan dalam jagaan ibu, rakan-rakan lelaki cedera disyaki didera - Utusan Malaysia

Bayi 7 bulan dalam jagaan ibu, rakan-rakan lelaki cedera disyaki didera

KESAN lebam pada badan bayi berusia tujuh bulan yang dipercayai didera sewaktu berada di bawah jagaan ibunya dan rakan-rakan lelaki yang disyaki sekumpulan penagih dadah di Kuala Bekah, Teluk Air Tawar, Pulau Pinang kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan dipercayai menjadi mangsa dera ibu dan rakan-rakan lelakinya yang merupakan kumpulan penagih dadah di sebuah rumah di Kuala Bekah, Teluk Air Tawar, di sini kelmarin.

Kejadian itu disedari bapa bayi berkenaan iaitu seorang mekanik berusia 28 tahun yang mengesan beberapa kecederaan dan lebam pada tubuh anaknya itu sebaik sahaja dimaklumkan kakak iparnya.

Terdahulu, lelaki berkenaan meminta kakak iparnya memandikan bayi berkenaan selepas mengambil anaknya itu daripada jagaan isterinya yang berusia 25 tahun kira-kira pukul 4.30 petang.

Difahamkan, pasangan suami isteri itu tidak tinggal serumah selepas dikatakan mempunyai masalah rumah tangga.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kakak ipar lelaki berkenaan menemukan kesan lebam pada badan dan mata bayi itu ketika memandikan mangsa.

“Bayi itu segera dihantar ke Hospital Seberang Jaya dan pihak perubatan mengesan lebam pada dahi, muka dan perut sebelah kiri selain pendarahan pada mata sebelah kanan mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, bapa mangsa yang membuat laporan polis semalam memaklumkan dia mengetahui siapa yang menyebabkan kecederaan pada anaknya tersebut.

Sehubungan itu, ujar beliau, polis menahan ibu mangsa yang didapati positif syabu dan memiliki tiga rekod lampau berkaitan dadah bagi siasatan lanjut.

“Keterangan ibu mangsa mengatakan anaknya mungkin terjatuh dari buaian semasa dalam jagaan kawan-kawan lelakinya di sebuah apartment di Butterworth.

“Bagaimanapun, kita mendapati keterangan itu meragukan. Ibu mangsa dan rakan-rakannya disyaki merupakan geng penagih dadah yang bercenderungan menyebabkan kecederaan kepada mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.