GEORGETOWN: Tidak mustahil untuk UMNO dan Pakatan Harapan (PH) membentuk kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) jika kedua-dua parti berpegang kepada prinsip demokrasi.
Bagaimanapun veteran UMNO, Tan Sri Mohd. Yussof Latiff berkata, pemimpin UMNO diingatkan supaya meletakkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara sebagai keutamaan.
Menurut beliau, UMNO bebas bekerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya perjuangan asas parti itu tidak digadaikan.
“Politik adalah seni permainan yang tidak mustahil, dahulu Pas dengan UMNO pun bergaduh, sekarang kedua-dua parti sudah menjadi kawan.
“Kemungkinan berlaku (kerjasama UMNO dan PH) kita tidak dapat tolak, namun UMNO perlu tetap berpegang kepada perjuangan parti ini iaitu demi agama, bangsa dan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.
Sebelum ini Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan UMNO pada PRU-15.
Ini susulan kata dua UMNO untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam PRU-15.
Mohd. Yussof berkata, mana-mana pemimpin UMNO yang mempunyai kes berkaitan rasuah di mahkamah disarankan bersikap gentleman dengan mengundurkan diri sebelum PRU.
“Ini bagi memastikan generasi muda melihat UMNO sebagai parti yang bersih daripada rasuah dan kembali menyokong parti itu,” katanya.
Mengulas keengganan UMNO berkerjasama politik dengan Bersatu, Mohd. Yusoff berkata, parti itu tidak rugi membuat keputusan tersebut.
“UMNO mempunyai jentera dan akar umbi di setiap kawasan dan UMNO tidak rugi jika tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu,” katanya.
Dalam pada itu, Veteran UMNO menyokong sekiranya gabungan kerjasama UMNO dibuat dengan PKR yang dilihat dapat memupuk penyatuan bangsa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Agungnya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ia adalah perkara positif sekali gus meletakkan UMNO sebagai kuasa dominan dalam gabungan kerjasama itu.
“Atas dasar perjuangan dan penyatuan ummah, tak ada masalah. Perkara itu boleh dipertimbang kerana tidak mustahil perkara itu boleh diubah walaupun telah memuktamadkan keputusan dengan syarat tiada DAP,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Mengulas lanjut, Mustapha turut berkata, kerjasama dengan PKR itu boleh dibuat menerusi kata putus melalui mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO sahaja.
“Keputusan itu akan dibuat oleh MT, kalau sekiranya keputusan itu ingin dipertimbangkan, cukup menerusi mesyuarat majlis MT sahaja, tidak perlu pergi ke Perhimpunan Agung UMNO. Sebab keputusan yang selama ini dipegang adalah No Anwar, No DAP, itu jelas,” jelasnya. – UTUSAN










