PUTRAJAYA: Tindakan Ahli Parlimen dan pemimpin pembangkang menyokong Perikatan Nasional (PN) menunjukkan dasar dan perjuangan kerajaan sekarang adalah di landasan tepat.
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan PN tidak sunyi dari masalah dan ada kekurangan tetapi secara keseluruhannya, ia sebuah kerajaan yang terbaik.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau tidak terperanjat mengenai perkara itu kerana pada hematnya, kerajaan PN sebuah kerajaan yang berjaya dari aspek kestabilan, usaha perangi Covid-19 malah program ekonomi semakin berjaya sekali gus membuka mata semua pihak termasuk pemimpin pembangkang.
“Saya juga difahamkan ramai pihak termasuk Ahli Parlimen bersedia memberi sokongan kepada PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin. Ada tujuh, lapan orang kawan saya beri indikasi sedia sokong kerajaan PN.
“Sekiranya ada kawan-kawan dalam kalangan ahli parlimen beri isyarat menyokong PN, ia tidak memeranjatkan kerana ini kerajaan yang berjaya. Apabila kerajaan berprestasi maka ramailah yang akan sokong,” katanya pada sidang akhbar selepas Walkabout dan Kempen Menanam Satu Juta Pokok di Anjung Floria Presint 4, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr. Xavier Jayakumar hari ini mengumumkan keluar daripada PKR serta-merta selepas berada bersama PKR sejak 1998
Bekas menteri itu memaklumkan kini menyokong kerajaan PN selepas kecewa apabila ada parti yang terus membincangkan mengenai pilihan raya sedangkan fokus utama sepatutnya adalah membantu rakyat.
Ketika ditanya tujuh hingga lapan orang yang akan menyokong PN dari parti mana, Annuar berkata, tidak kiralah parti mana kerana jika disebut, akan ada yang menafikannya tetapi itulah politik.
Katanya, apabila ada yang kata mahu keluar maka sudah pasti akan ada yang nak masuk.
“Setiap tindakan akan ada tindak balas yang bersesuaian. Apa yang penting, ia dilakukan berdasarkan apa yang baik untuk negara kerana zaman ini adalah zaman kukuhkan perpaduan.
“Ini bukan zaman utamakan agenda sendiri tetapi zaman utamakan agenda rakyat. Kalau setakat cakap politik, ia tidak kemana kerana kita kena kerjasama dan fokus tidak kira masa dan waktu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










