18 ahli sindiket penipuan kempunan gaji pertama - Utusan Malaysia

18 ahli sindiket penipuan kempunan gaji pertama

AYOB Khan Mydin Pitchay melihat telefon bimbit dan buku nota yang dirampas membabitkan sindiket penipuan dalam sidang akhbar di IPK Johor. - UTUSAN/ BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seramai 18 ahli sindiket penipuan kempunan untuk ‘menikmati’ gaji pertama sebanyak RM2,500 tidak termasuk komisen selepas kegiatan mereka dipatahkan polis dalam satu operasi, Ahad lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Op Puyuh itu dijalankan antara pukul 4.15 petang hingga 10 malam melibatkan dua serbuan masing-masing di sebuah rumah di Kempas dan Setia Indah, di sini.

“Dalam serbuan berkenaan, 18 individu melibatkan 15 lelaki dan tiga wanita berusia antara 15 tahun hingga 35 tahun ditahan.

“Turut dirampas termasuk 60 unit telefon bimbit pelbagai jenama, 13 buku nota mengandungi butiran nombor telefon mangsa serta skrip perbualan dan 17 kad pengeluaran wang automatik
(ATM) pelbagai jenis bank,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor, Asisten Komisioner Mohd. Salleh Abdullah.

Ayob Khan berkata, sindiket itu dipercayai mula beroperasi awal bulan ini dan kesemua suspek ditahan mendakwa tidak mengenali ketua sindiket.

Tambah beliau, kesemua suspek direkrut menerusi satu iklan kerja di laman sosial Facebook yang menawarkan gaji sebanyak RM2,500 sebulan dan lima peratus komisen bagi setiap tugas dilaksanakan.

“Modus operandi sindiket ini adalah menyamar sebagai kenalan seperti ahli keluarga dan rakan melalui panggilan telefon dan kiriman mesej untuk meminjam wang daripada mangsa.

“Mangsa hanya menyedari ditipu dan mengalami kerugian selepas membuat semakan semula dengan kenalan berkenaan,” katanya yang memaklumkan jumlah mangsa dan kerugian membabitkan sindiket masih dalam siasatan.

Menurut beliau, kesemua tangkapan ditahan reman bermula semalam manakala kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau memaklumkan, sejak Januari hingga bulan lalu, sebanyak 48 kes membabitkan modus operandi sama dilaporkan dengan kerugian sebanyak RM398,000.

“Sepanjang tahun lalu pula, sebanyak 209 kes dilaporkan dengan keseluruhan kerugian mencecah RM1.7 juta,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya