SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga negara asing ditemukan mati di sebuah hotel bajet di Jalan Kuala Ketil, di sini semalam.
Mangsa berusia 38 tahun dan berasal daripada sebuah negara di Afrika itu ditemukan berselimut di atas katil dalam bilik yang disewanya sejak 17 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, polis menerima panggilan daripada pemilik hotel bajet itu pada pukul 3.10 petang semalam.
“Pemilik hotel itu mengesyaki sesuatu berlaku kepada pelanggannya di dalam bilik yang berkunci selepas mangsa gagal menyahut panggilannya sejak tengah hari.
“Mangsa dikatakan dua hari tidak keluar daripada biliknya untuk membeli makanan seperti biasa sejak menyewa di situ seminggu lalu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Adzli berkata, sebaik sahaja pintu bilik dipecahkan oleh anggota bomba, pihaknya menemukan mangsa terbaring dan tidak bernyawa di atas katil.
“Siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan pada bahagian luar badan mangsa. Identiti mangsa dan motif kematian masih dalam siasatan,” katanya.
Beliau menambah, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk bedah siasat.
Katanya, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – UTUSAN ONLINE