KUBANG PASU: Sudah lebih tiga minggu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan di seluruh negara dan kesannya semakin dirasai banyak pihak termasuk pemandu teksi di sekitar pekan Changlun di sini.
Rata-rata pemandu yang ditemui berkata, pendapatan mereka terjejas teruk sejak pandemik Covid-19 dan PKP menambah lagi kesengsaraan mereka.
Seorang pemandu teksi, Rosli Hashim, 60, berkata, dia terpaksa berkampung di stesen bas dan teksi di sini untuk menunggu pelanggan setiap hari walaupun pendapatan yang diperoleh terlalu kecil.
“Saya juga terpaksalah tidur di stesen ini setiap malam, menunggu kalau-kalau bertuah ada pelanggan nak guna teksi. Tetapi hampa, ada kalanya saya hanya mampu raih RM10 sahaja dan ada hari tak ada langsung.
“Sebelum PKP sudah teruk, inikan masa PKP siapalah nak keluar rumah. Kami semua kebuntuan kerana nak sara keluarga,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas dan Teksi Changlun di sini hari ini.
Rosli yang sudah 20 tahun menjadi pemandu teksi memberitahu, daripada keseluruhan 100 pemandu teksi di situ, kini hanya enam orang masih bertahan.
“Yang lain memang sudah berhenti bawa teksi sama ada untuk buat kerja lain atau duduk rumah sahaja,” katanya.
Seorang lagi pemandu teksi, Mohd. Radzi Shaari, 60, berkata, penutupan sempadan Malaysia-Thailand sejak tahun lepas menjadi punca utama kemerosotan pendapatan mereka.
“Dulu paling tidak boleh juga RM200 sehari bawa orang ke sempadan. Masa cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina paling ramai sampai jalan sesak.
“Tempahan memang tak menang tangan tetapi kini tinggal kenangan sahaja. Kalau dapat RM10 pun kira bertuah sangat,” katanya.
Menurut Mohd. Radzi, pihaknya berharap kerajaan dapat melihat dengan lebih mendalam kebajikan golongan tersebut yang semakin tersepit ekoran wabak tersebut.
Sementara itu, Azman Sharif, 46, pula berkata, dia terpaksa meninggalkan sementara kerja memandu teksi kerana tidak mampu membiayai kos penyelenggaraan kenderaan yang menjadi sumber rezekinya.
“Cukai jalan dan insurans pun sudah setahun tak mampu nak bayar macam mana nak bawa teksi. Tersadailah di rumah sebab nak harap tambang yang dapat setiap hari pun tak boleh nak tampung.
“Nak sara keluarga terpaksalah buat kerja-kerja lain bancuh simen tolong orang buat rumah,” katanya. -UTUSAN










