Tuntut hutang dengan pistol, 2 lelaki ditahan - Utusan Malaysia

Tuntut hutang dengan pistol, 2 lelaki ditahan

PISTOL yang dirampas daripada dua lelaki yang membuat ugutan ketika mahu menuntut hutang dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD FIRDAUS AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Dua lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan ugutan jenayah dengan pistol untuk menuntut hutang dengan seorang rakan mereka di kawasan apartment di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas, di sini semalam.

Kedua-dua suspek berusia 34 tahun dan 27 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Lebuh Victoria, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari dua jam selepas polis menerima laporan mengenai ugutan jenayah dilakukan suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra’ais berkata, bapa mangsa yang berusia 57 tahun membuat laporan polis selepas anak lelakinya berusia awal 30-an mengadu diugut dua lelaki yang kemudiannya turut menunjukkan pistol kepadanya.

“Susulan laporan diterima polis menahan kedua-dua suspek di hotel di Lebuh Victoria.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas salah seorang suspek lelaki berumur 34 tahun, pihak polis merampas sepucuk pistol jenama glock berserta seunit magazine dan tujuh butir peluru hidup yang diselit pada pinggang suspek,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri, di sini hari ini.

Menurut Rahimi, pemeriksaan lanjut di dalam beg galas suspek berumur 27 tahun pula menemukan sekeping kad kuasa polis, dua bilah pisau lipat dan dadah jenis syabu seberat 0.9 gram.

“Hasil ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan Selangor ini positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal mendapati kad kuasa PDRM itu adalah tulen serta milik seorang anggota polis di kontinjen lain, pihak kami masih menjalankan siasatan bagaimana ia berada bersama suspek itu dan adakah digunakan oleh mereka untuk kegiatan jenayah,” katanya.

Tambah beliau, semakan mendapati suspek berumur 27 tahun mempunyai 11 rekod lampau iaitu enam berkaitan jenayah dan lima kesalahan dadah manakala suspek berumur 34 tahun tiada rekod kesalahan lampau.

Dalam pada itu, katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 13 Februari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 385 kanun keseksaan (kesalahan melakukan pemerasan), dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971.

“Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Altis daripada lelaki berusia 34 tahun berkenaan dan dipercayai dia menyewanya sejak seminggu lalu di Selangor,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.