Terlibat aplikasi tidak bermoral boleh menjurus perbuatan zina - Mufti - Utusan Malaysia

Terlibat aplikasi tidak bermoral boleh menjurus perbuatan zina – Mufti

DR. LUQMAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam yang bergelumang dengan aplikasi sosial tidak bermoral seperti Sugarbook diseru segera bertaubat kerana dibimbangi terjerumus dalam kancah perzinaan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, larangan menyertai wadah itu atau aplikasi lain berkaitan juga sejajar dengan prinsip Islam yang disebut Sadd al-Dzara’i.

“Muslim ditegah selaras prinsip penutupan pintu yang membawa kepada perbuatan haram di sisi Islam,” katanya menerusi kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) hari ini.

Ia susulan tular infografik statistik baru-baru ini diterbitkan Sugarbook berpusat di Cyprus, negara pulau di Laut Mediterranean mengenai penyertaan rakyat Malaysia dalam aplikasi itu.

Platform antarabangsa itu menawarkan saluran pertemuan golongan lelaki atasan dikenali Sugar Dady dan kelompok wanita muda dibayar upah yang diistilahkan sebagai Sugar Baby.

Pendedahan itu turut menggemparkan pelbagai pihak kerana ia menunjukkan puluhan ribu pelajar wanita di pelbagai institusi pengajian tinggi tempatan terdesak mencari duit tambahan.

Mengulas lanjut, Luqman berkata, PMWP menegaskan bahawa perbuatan hubungan sulit itu boleh mendorong kepada perlakuan zina dan adalah jelas dilarang menurut hukum syarak.

“Larangan ini berdasarkan dalil antaranya firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra ayat 32 serta hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Muslim,” tegas beliau.

Zina jelasnya, ialah dosa paling besar selepas syirik dan membunuh serta diharamkan syurga bagi orang berzina selain azab pedih kubur seumpama seksaan bagi separuh umat manusia.

Selain itu ujarnya, aktiviti sebegini jelas bercanggah dengan norma masyarakat Malaysia yang sentiasa memelihara tatasusila serta kesopanan dalam aspek pergaulan lelaki dan wanita.

Justeru katanya, PMWP menasihatkan Sugar Dady dan Sugar Baby yang terlibat agar cepat bertaubat kepada Allah dan berazam meninggalkan perbuatan tidak bermoral itu selamanya.

“Marilah kita bermuhasabah, menginsafi dan dekat diri kepada Allah dengan yakin rezeki kurniaan Ilahi amat luas selain tidak putus asa mencari yang halal demi hidup berkat,” katanya.

Luqman juga berpesan, dalam umat Islam mengharungi musibah wabak Covid-19, usahlah pula terpedaya hasutan syaitan yang berterusan mendorong manusia ke arah kemungkaran. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya