Sukar dapat kerja, graduan kejuruteraan kimia jual dorayaki - Utusan Malaysia

Sukar dapat kerja, graduan kejuruteraan kimia jual dorayaki

SITI Noorbaizura Abdul Rahman menggunakan motosikal untuk menjual kuih dorayaki dan melakukan penghantaran kuih itu kepada pelanggannya di sekitar Jempol serta Kuala Pilah. - UTUSAN/NURULAZMA SYAFIQAH KHAIRUL AZHAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

syafiqaJEMPOL: Kesukaran memperoleh pekerjaan membulatkan tekad seorang graduan Ijazah Kejuruteraan Kimia dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjual kuih dorayaki dengan menunggang motosikal.

Kisah Siti Noorbaizura Abdul Rahman, 27, terlebih dahulu tular dalam media sosial selepas dia memuat naik hantaran di Facebook yang memaklumkan menjual kuih berkenaan di hadapan sebuah pasar raya di Bahau, dekat sini sejak seminggu lalu.

Dia yang turut bekerja sebagai pembantu restoran dengan pendapatan RM40 sehari berkata, keputusannya itu sudah tentu bagi menambah pendapatan selepas usahanya mendapatkan kerja yang lebih baik setakat ini tidak berhasil.

“Selepas empat hari berniaga sambutan sangat menggalakkan, tidak sangka dalam sehari jualan dorayaki boleh habis sehingga 150 biji.

“Pada mulanya saya hanya berniat untuk parkir motor dan kemudian berniaga di hadapan pasar raya tetapi selepas memuat naik hantaran di Facebook, ramai yang meminta saya membuat penghantaran,” katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.

Menurut Siti Noorbaizura, dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menghantar pesanan pelanggan jika ia lebih memudahkan, tambahan dia menggunakan motosikal sahaja.

“Caj penghantaran juga saya tidak tetapkan sebaliknya menerima dengan seikhlas hati berapa sahaja diberikan pelanggan. Buat masa ini, saya mampu bergerak sehingga 30 kilometer untuk menghantar dorayaki kepada pelanggan di Kuala Pilah dan saya tetap hantar walaupun agak jauh,” ujarnya.

Tambahnya, dia keluar menghantar pesanan seawal pukul 8.30 pagi dan memastikan sesi penghantaran selesai sebelum masuk bekerja pada pukul 2 petang .

“Saya bersyukur kerana lulus bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang lalu dan dengan modal itu saya gunakan untuk memulakan perniagaan menjual dorayaki ini.

“Keluarga terutama ibu bapa juga memberikan sokongan dan itu yang menguatkan lagi semangat saya. Dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik, graduan tidak harus memilih pekerjaan dan perlu berusaha dan kreatif mencari pendapatan. Apa yang lebih penting ia dari sumber halal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN