fbpx

6 Mac 2021, 2:26 pm

  TERKINI

Suami isteri ditahan curi susu formula

NURULHUDA Mohd. Salleh (kanan) menunjukkan antara susu formula yang dirampas selepas pihaknya menahan empat individu termasuk pasangan suami isteri di sekitar daerah Klang, Selangor baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Perbuatan sepasang suami isteri yang menjalankan kegiatan mencuri susu formula berjenama dan kosmetik sejak setahun lalu berakhir apabila kedua-dua mereka ditahan di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Malah, penahanan kedua-dua suspek membongkar taktik penjualan barangan dicuri kepada pemilik dan pekerja kedai runcit yang turut ditahan dalam operasi bermula Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus sebuah farmasi pada 10 Februari lalu pukul 11.47 pagi yang memaklumkan kehilangan pelbagai barangan dianggarkan RM1,000.

Katanya, hasil pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pasangan suami isteri memasukkan barangan curi ke dalam beg sandang tanpa disedari pekerja farmasi itu.

“Hasil siasatan mendapati pasangan suami isteri ini memfokuskan kepada premis yang tidak mempunyai alat pengimbas harga dan terlibat dalam 10 kes melibatkan di pasar raya dan farmasi.

“Siasatan juga mendapati mereka menjual barangan ini kepada pemilik kedai runcit dengan harga murah berbanding pasaran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Difahamkan, pasangan terbabit turut mencabut tanda harga yang diletakkan pada barangan itu sebelum keluar dari premis.

Mengulas lanjut, Nurulhuda berkata, pemilik kedai pula menandakan tanda harga mengikut kedainya sebelum menjualnya dengan harga promosi di kedai atau secara dalam talian.

“Mereka mampu mengaut keuntungan sebanyak RM600,000 dalam masa setahun. Malah, pemilik kedai juga membeli hasil curi daripada kumpulan suspek lain dari daerah Shah Alam.

“Dengan penahanan kesemua suspek berusia 20 hingga 40 an itu, kita merampas pelbagai susu formula bayi antaranya Enfalac, Anmum, Pediasure dan Similac,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga merampas barangan kosmetik, sabun mandian dan makanan dalam tin yang bernilai RM50,000.

Kesemua suspek kini masih ditahan reman sehingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE