Sokong Daesh: `Akhy Al Fajr' dipenjara tujuh tahun - Utusan Malaysia

Sokong Daesh: `Akhy Al Fajr’ dipenjara tujuh tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori pasir warganegara Indonesia mengaku bertindak bodoh kerana menyokong kumpulan pengganas Daesh melalui perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dan memiliki item-item berunsur keganasan dalam telefon bimbitnya.

Perbuatan Fajrial yang menggunakan gelaran `Akhy Al Fajr’ menemuKAN padah apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua tahun terhadapnya bagi setiap kesalahan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa serentak bermula daripada tarikh tangkapan iaitu pada 21 September 2019 selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap kedua-dua tuduhan yang dikemukakan.

Tuduhan pertama, Fajrial, 34, dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun kerana memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daesh dengan cara mempromosikan kumpulan pengganas itu melalui WhatsApp bersama individu lain menggunakan telefon bimbit.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di antara 29 Julai 2019 dan 21 September 2019 di rumah kongsi, Jeti Tolak Pasir, Kampung Permatang Arang, Pekan, Pahang.

Tuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi 30 tahun atau denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut.

Tuduhan kedua, Fajrial didakwa memiliki item-item yang berunsur perbuatan keganasan dan berkaitan dengan kumpulan Daesh dalam telefon yang sama kira-kira pukul 5.30 petang 21 September 2019 di tepi jalan berhadapan Masjid An-Nur Kampung Ketapang Hilir, Pekan.

Ketika disiasat, tertuduh mengaku menyimpan 16 rakaman video dan 36 keping gambar dalam telefonnya berkaitan bahan propaganda untuk perjuangan dan jihad kumpulan Daesh.

Fakta kes antara lain menunjukkan, gambar dan video itu bertujuan mempromosi kefahaman Islam yang salah dengan mengajar orang Islam untuk membenci dan membunuh orang bukan Islam yang tidak bersalah di dalam peperangan serta mengajar kanak-kanak membalas dendam dengan membunuh.

Gambar dan video itu turut memaparkan info berkaitan militan Daesh dan keupayaan kumpulan itu mengendalikan pelbagai jenis senjata dan serangan bertujuan menarik sokongan orang Islam terhadap aktiviti keganasan.

Fakta turut menunjukkan, tertuduh yang merupakan pemilik telefon itu mempunyai pertalian yang kuat dengan kumpulan pengganas dan memberi sokongan tegar berkaitan perjuangan yang menjurus kepada keganasan.

Siasatan polis mendapati, Fajrial yang menggunakan nama `Akhy Al Fajr’ mengaku mengenali individu yang menggunakan gelaran `Al Mizan Ad’ melalui Facebook dan memberikan nombor telefon kepada lelaki itu untuk memudahkan perbualan dan berkongsi maklumat serta perbincangan berhubung Daulah Islamiah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Firdaus Abu Hanipah memohon agar hukuman yang dikenakan dapat memberi pengajaran kepada tertuduh selain menyampaikan pesanan kepada masyarakat berhubung keseriusan kes tersebut.

“Saya juga doakan agar hukuman ini akan membuatkan tertuduh berubah dan tidak lagi melibatkan diri dengan kesalahan sebegini,” ujar Mohd. Firdaus.

Bagaimanapun, Fajrial yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan mempunyai anak kecil selain mengaku tindakan yang dilakukannya adalah kerana kebodohan sendiri.

Prosiding pendakwaan berlangsung selama hampir dua jam berikutan permohonan tertuduh untuk memohon khidmat peguam dari Kedutaan Indonesia, namun ia tidak dapat ditunaikan kerana faktor kewangan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya