KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket skim pelaburan emas palsu dengan penahanan sembilan lelaki dalam serbuan di tiga negeri pada Rabu lalu.
Kesemua suspek berusia antara 34 hingga 62 tahun itu ditahan di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, serbuan dijalankan pihaknya selepas menerima 43 laporan mengenai sindiket tersebut yang melibatkan kerugian RM2.82 juta.
Katanya, sindiket yang menggunakan nama ‘Cryptocurrency Emas Fintech’ menerusi platform perdagangan kripto menjanjikan pulangan pelaburan antara 10 hingga 15 peratus.
“Sindiket itu mengaku mempunyai kerjasama dengan perkhidmatan pertukaran mata wang kripto iaitu Binance, Liquid, Kraken dan Okcoin.
“Dalam serbuan itu, sebanyak lima kenderaan mewah termasuk empat BMW, 10 kad mesin pengeluaran wang (ATM), 12 kad kredit, 20 telefon bimbit, enam komputer riba dan wang tunai RM27,600 dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat JSJK Bukit Aman di sini semalam.
Dalam pada itu, Zainuddin berkata, pihaknya percaya sindiket ini telah memperdaya banyak lagi mangsa dan meminta mereka tampil membuat laporan.
Jelasnya, pihak polis kini memburu seorang lagi individu,Jason Kellady, 32, dipercayai terlibat dalam sindiket itu bagi membantu siasatan
“Kita percaya individu yang beralamat di C2-17-06, Parklane OUG, Jalan 1/152, Kuala Lumpur itu merupakan dalang dalam kegiatan ini.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Inspektor Nur Ainie Baharudin di talian 012-462 3442 atau 03-2774 0222,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE