KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan membuka sekolah secara berperingkat mulai 1 Mac ini menimbulkan persoalan mengenai kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih ‘terpakai’ atau ditamatkan terus.
Ini kerana, ramai dalam kalangan ibu bapa yang sudah membeli peranti dan menempah internet bagi tujuan PdPR berasa pelaburan sebelum ini `hangus’ begitu sahaja susulan persekolahan bersemuka bakal bermula tidak lama lagi.
Sehubungan itu, Presiden Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohamad Ali Hasan berkata, pihak kementerian tidak boleh mengabaikan terus `pelaburan’ ibu bapa sebaliknya perlu memaksimumkan penggunaan peranti dimiliki pada sesi persekolahan bersemuka itu.
“Antaranya mungkin setiap kali hujung minggu pihak sekolah boleh mengaturkan kelas tambahan atas talian untuk ‘mengejar’ mata pelajaran tertinggal sewaktu sekolah ditutup dengan menggunakan peranti dibeli.Tidak perlu lama dua atau tiga jam sehari memadai.
“Malah, kelas motivasi dan aktiviti berfaedah juga boleh dilaksanakan menggunakan peranti itu. Jadi ia sebenarnya bukanlah sesuatu yang membazir,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut beliau, dalam keadaan pandemik yang masih berterusan, adalah tidak adik untuk ibu bapa terus merungut dan mengecam tindakan kerajaan.
“Apa sahaja situasi yang berlaku dan bakal berlaku ia dipengaruhi wabak Covid-19. Kenalah ada sedikit pengorbanan jangan terlalu merungut kerana sebenarnya semua orang susah,” katanya.
Selain itu, katanya, penularan belum berakhir dan proses imunisasi belum berjalan jadi ibu bapa dan guru juga perlu bersedia dengan kemungkinan sekolah ditutup semula.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd. Azizee Hasan berkata, kekeliruan timbul dalam kalangan ibu bapa yang bersedia dengan kaedah PdPR sepenuhnya.
“Mereka membeli peranti dan tiba-tiba kerajaan umum sekolah dibuka. Jika difahami dengan betul, isu ini tidak timbul.
“Mereka (kerajaan) mahu selamatkan keciciran pelajar prasekolah dan murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga kerana mereka perlu belajar bersemuka,” kata beliau semasa dihubungi semalam.
Oleh itu, Mohd. Azizee berkata, pembelian peranti tidak boleh dianggap sebagai membazir sebaliknya ibu bapa perlu bersedia ke arah pembelajaran secara digital selepas ini.
Katanya, banyak lagi kebolehgunaan peranti yang sudah dibeli malahan internet yang dipasang di rumah juga bakal menjadi keperluan asas.
“Untuk menganggap peranti dan internet membazir adalah tidak betul. Yang berlaku ialah mungkin ibu bapa terbeban kerana terbeli semua peralatan untuk kemudahan PdP,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Aminuddin Awang pula berkata, PdPR hanya medium sokongan dan sebaik sekolah dibuka ibu bapa tidak sepatutnya khuatir hanya kerana sudah membeli peranti.
“Peranti masih boleh digunakan sama ada sewaktu persekolahan atau di rumah. Ia sebenarnya nilai tambah untuk murid-murid,” katanya.
Jelas Aminuddin, apabila sekolah dibuka, peranti atau capaian internet dibeli `bukan barang buangan’ malah terus berfungsi untuk proses pembelajaran lebih baik.
“Contoh, anak-anak boleh membuat carian sesuatu perkara berkaitan pembelajaran dengan mudah. Malah pelajar menengah mungkin selepas ini lebih mudah membuat rujukan menggunakan peranti yang sudah dibeli,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin Jumaat mengumumkan sesi sekolah bermula 1 Mac ini dibuka untuk pelajar sekolah rendah iaitu pr sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2.
Sesi persekolahan bagi pelajar Tahun 3 hingga Tahun 6 pula akan bermula 8 Mac.
Bagaimanapun, bagi pelajar sekolah menengah persekolahan ditetapkan selepas cuti pertengahan penggal iaitu pada 4 April bagi sekolah Kumpulan A (Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) manakala 5 April bagi Kumpulan B.
Bagi pelajar Kolej Vokasional pula sesi akan dibuka 1 Mac dan sekolah antarabangsa semua peringkat dan kategori adalah pada 8 Mac.
Susulan itu, pengumuman tersebut, timbul banyak kekeliruan dan persoalan segelintir ibu bapa yang berasa mereka `membazir’ membeli peranti dan menyediakan kemudahan internet di rumah.
Pembukaan sekolah tersebut dilihat lebih menggembirakan kumpulan ibu bapa yang mendiami kawasan pendalaman kerana mereka berdepan isu utama iaitu capaian internet. – UTUSAN











