Rampas 615 liter diesel dipercayai diseleweng - Utusan Malaysia

Rampas 615 liter diesel dipercayai diseleweng

ANGGOTA Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Cawangan Dungun merampas 615 liter minyak diesel di sebuah stesen minyak di Dungun, Terengganu, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu merampas sebanyak 615 liter minyak diesel bernilai RM1,297.65 yang dipercayai diseleweng di sebuah stesen minyak di daerah ini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 1.40 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an turut ditahan ketika mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd. Kia berkata, hasil soal siasat mendapati lelaki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran daripada pengawal bekalan bagi pembelian barangan bersubsidi tersebut.

“Risikan selama tiga hari dijalankan di stesen minyak ini hasil aduan orang awam berkaitan aktiviti penyelewengan minyak diesel.

“Dalam serbuan ini kita turut merampas tiga tong drum dan sebuah kenderaan pacuan empat roda untuk siasatan lanjut dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM72,047.65,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Saharuddin, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, hukuman ke atas syarikat pula adalah denda tidak melebihi RM2 juta.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kerjasama pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya