PUNB, KBS bekerjasama lahir usahawan - Utusan Malaysia

PUNB, KBS bekerjasama lahir usahawan

NOH OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menjalin kerjasama strategik untuk melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terutama dalam kalangan belia.

Usaha itu dibuat melalui program pembangunan keusahawanan, Malaysia Youth Entrepreneur (MyPRENEUR) bagi mengalakkan lebih ramai penglibatan golongan belia dalam bidang keusahawanan.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar berkata, inisiatif MyPRENEUR menjadi nilai tambah kepada usaha PUNB dalam melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera terutama belia.

Beliau berkata, melalui kerjasama tersebut, PUNB menyasarkan untuk melatih kira-kira 1,500 belia yang telah dikenal pasti oleh KBS mempunyai potensi keusahawan untuk dikembangkan menerusi program-program dilaksanakan oleh PUNB.

Katanya, antara program yang sudah dikenal pasti ialah Program PUNB Uni-Challenge dan BizKonsultansi.

“Selain itu, PUNB akan menawarkan sesi coaching bersama pakar industri pilihan yang telah dikenal pasti oleh PUNB. Menerusi kerjasama ini juga, belia yang berkelayakan akan dipelawa untuk menyertai program JUMPER Start-Up,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Noh dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican sebelum itu melancarkan MyPRENEUR PUNB KBS secara maya di Akaun Rasmi Facebook PUNB dan KBS.

Program PUNB Uni-Challenge adalah program keusahawanan berkonsepkan pertandingan dengan fokus utama kepada belia yang dilatih di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (IKBN), manakala BizKonsultansi bersama PUNB pula sesi konsultasi perniagaan dengan memberikan khidmat nasihat, panduan serta tunjuk ajar dalam menentukan hala tuju perniagaan.

Menurut Noh, program latihan sangkut bersama mentor dalam industri pilihan akan berjalan selama lapan bulan dan dalam tempoh tersebut, peserta akan ditempatkan di premis perniagaan mentor bagi mempelajari selok belok dunia perniagaan.

Jelasnya, sebaik tamat latihan, mereka layak memohon geran perniagaan berjumlah RM10,000 dan memohon pembiayaan untuk mengembangkan perniagaan.

“Program yang dirancang ini akan dipantau rapi pelaksanaannya bagi memastikan ia memberi impak dan memberi hasil yang diharapkan iaitu melahirkan usahawan baru, sekali gus mencipta rantaian peluang pekerjaan untuk belia di negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya