Pelanggan boleh makan di restoran mulai hari ini - Utusan Malaysia

Pelanggan boleh makan di restoran mulai hari ini

Mulai hari ini, pelanggan boleh makan di restoran. – GAMBAR HIASAN -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Selepas rungutan banyak pihak termasuk pengusaha premis makanan yang terjejas, kerajaan bersetuju membenarkan pelanggan makan di kedai mulai hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun kelonggaran itu hanya terhad kepada dua pelanggan di satu meja dengan jarak fizikal minimum satu meter.

Menurut beliau, pemilik restoran perlu menugaskan seorang pekerja untuk memantau keluar masuk pelanggan dan mengehadkan bilangan yang berada di kedai pada satu-satu masa.

“Kebenaran ini kembali seperti sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan pada bulan lepas tetapi waktu operasi premis masih kekal dari pukul 6 pagi hingga 10 malam,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan keluhan pengusaha restoran dan kedai makan supaya kerajaan membenarkan semula pelanggan makan di premis bagi mengelakkan risiko kumpulan tersebut gulung tikar.

Sebelum ini, pelaksanaan PKP tidak membenarkan pelanggan makan dalam premis, sebaliknya membungkus makanan untuk dibawa pulang.

Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) yang mewakili 4,200 ahli dan 10,000 rangkaian restoran menganggarkan sejak PKP tahun lalu, hampir 300 pengusaha restoran menutup perniagaan masing-masing.

Menurut Ismail Sabri, selain kebenaran makan di kedai, sejumlah 18 bentuk perniagaan lain turut diberi kebenaran sama antaranya kedai pakaian, fotografi, bunga, peralatan sukan, permaidani, barangan rumah, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.

Katanya, kebenaran itu setelah kerajaan mengambil kira ramai pihak terjejas teruk dan terkesan dari segi ekonomi sejak PKP dilaksanakan semula.

Menyentuh rasional kelonggaran itu meskipun kes baharu positif Covid-19 masih tinggi, beliau menjelaskan, kerajaan mempunyai data daripada pelbagai agensi dan mengambil kira faktor ramai yang hilang pendapatan.

Ismail Sabri memberi contoh kisah sedih tentang seorang ibu terpaksa mencuri hanya untuk keperluan anaknya baru-baru ini.

Keadaan itu, katanya berlaku susulan ramai dibuang kerja dan kadar pengangguran melonjak paling buruk dalam sejarah selepas kali terakhir direkodkan ketika krisis ekonomi 1998.

Bagaimanapun, tegas beliau, kelab malam, pub, disko dan pusat hiburan tidak pernah diberi kebenaran beroperasi sejak pelaksanaan PKP 1.0 pada 18 Mac lalu hingga sekarang.

Sementara itu, Dewan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITC) berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pelanggan makan di kedai makan.

Pengerusi Pembangunan Usahawannya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, sehubungan itu, golongan peniaga kedai makan perlu memastikan mereka melaksanakan SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, oang ramai juga perlu patuh SOP bagi memastikan tidak berlaku penularan pandemik Covid-19 di kedai makan.

“Menerusi peluang ini, golongan peniaga kedai makan perlu serius dalam melaksanakan SOP dan orang ramai perlu mematuhinya,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya