Nestlé catat perolehan RM5.4 bilion - Utusan Malaysia

Nestlé catat perolehan RM5.4 bilion

Perniagaan makanan dan minuman teras antara penyumbang utama pendapatan Nestle. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Nestlé (Malaysia) Bhd. mencatatkan keputusan mantap bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 apabila meraih pendapatan berjumlah RM5.4 bilion dan keuntungan bersih RM552.7 juta, walaupun berdepan situasi pandemik Covid-19.

Pencapaian itu hasil peningkatan perolehan berjumlah RM1.3 bilion pada suku terakhir tahun lalu, iaitu 3.1 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Perniagaan makanan dan minuman teras terus menjadi penyumbang utama, mencatatkan pertumbuhan 6 peratus dipacu oleh penggunaan di rumah yang kukuh, selain perniagaan eksport yang memberangsangkan.

Turut menyumbang kepada prestasi kumpulan ialah jualan melalui saluran Luar Rumah (OOH) yang mencatatkan prestasi lebih baik seiring kelonggaran sekatan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada separuh tahun kedua, walaupun angka masih jauh di bawah paras sebelum pandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols berkata, keputusan suku tahunan yang lebih baik itu dicapai hasil usaha berterusan pasukan dalam memacu peluang pertumbuhan semua jenama dan saluran dalam situasi mencabar serta persaingan yang sengit.

Ujar beliau, hasilnya, kumpulan mencatatkan untung sebelum cukai RM167.4 juta, sekali gus merapatkan jurang keputusan tahun lalu berbanding tiga suku tahun sebelumnya.

“Ini terutamanya disebabkan saluran OOH yang terjejas, di samping perbelanjaan operasi lebih tinggi sehingga RM62 juta untuk melindungi keselamatan semua kakitangan di tempat kerja dan memastikan kesinambungan operasi, termasuk program pemeriksaan antigen Covid-19.

“Bagaimanapun, Kumpulan tetap berjaya mencatatkan untung selepas cukai RM132.5 juta, peningkatan sedikit berbanding suku yang sama tahun lepas,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Aranols, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim ketiga 92 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

“Ini sejajar dengan komitmen Kumpulan untuk menyampaikan nilai yang mampan dan berkekalan kepada pemegang saham. Dividen terkumpul bagi tahun yang dilaporkan berjumlah RM2.32 sesaham iaitu pembayaran dividen yang kukuh dalam suasana yang tidak stabil tahun lalu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN