KUALA LUMPUR: “Saya ada alasan kukuh tak hadir ke mahkamah. Lagipun, hari ini (semalam) bukan hari perbicaraan sebaliknya diminta datang untuk penetapan tarikh baharu perbicaraan sahaja.”
Itu antara penjelasan diberikan oleh usahawan kosmetik dan selebriti media sosial, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, 36, berhubung ketidakhadirannya ke Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor, semalam.
Katanya yang lebih popular dengan panggilan Sajat, dia tidak berniat mengelak hadir ke mahkamah sebagaimana yang diminta dan mendakwa mempunyai surat pengesahan doktor atas masalah kesihatan.
“Saya tak sihat, muka dan anggota badan saya tiba-tiba menjadi bengkak akibat alahan makanan. Surat pengesahan doktor pun saya ada kalau tidak percaya.
“Selain itu, saya juga hairan mengapa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) masih belum memberi dan menghantar laporan penuh berhubung pertuduhan yang dibuat ke atas saya melalui peguam biarpun sudah lama, iaitu sejak 23 Februari 2018,”katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Menurut Sajat, keadaan itu menyebabkannya berasa tidak puas hati selain mengaku masih trauma dengan apa yang terjadi ketika dipanggil memberi keterangan di pejabat JAIS bulan lalu.
Dakwanya, dia berasa seperti dibuli kerana tidak diberikan hak sebagai seorang rakyat Malaysia.
“Kalaulah saya mengelak dan mahu lari, lebih baik terus pindah luar negara terus. Buat apa saya beri kerjasama selama ini? Terus-terang, saya tak takut, tetapi lebih kepada sedih dan kecil hati diperlakukan sebegitu,” katanya.
Semalam, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat susulan gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.
Menurut Peguam Syarie Zuri Zabuddin Budiman yang mewakili Sajat, mahkamah telah menetapkan tarikh baharu pada 1 Jun depan berikutan ketidakhadiran anak guamnya. – UTUSAN ONLINE










