Malaysia-UAE bersetuju tingkat kerjasama 2 hala - Utusan Malaysia

Malaysia-UAE bersetuju tingkat kerjasama 2 hala

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala yang lebih erat terutama dalam bidang ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Ia antara isu disentuh oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn dengan rakan sejawatannya, Sheikh Abdullah Zayed Sultan Al Nahyan di Abu Dhabi, semalam.

Wisma Putra dalam satu kenyataan memaklumkan, kedua-dua menteri itu turut meluahkan perasaan puas hati dengan perkembangan semasa mengenai hubungan positif dua negara berkenaan selama ini.

“Mereka berdua mencapai persetujuan untuk melonjakkan kerjasama iktisad terutama memacu peluang lebih kukuh pasca pandemik,” kata kenyataan itu.

Justeru, bagi menjayakan usaha itu, dua menteri tersebut menggariskan inisiatif penting dalam empat bidang utama antaranya pelaburan dan perdagangan serta aspek kesihatan.

Menurut kenyataan itu, turut dibincangkan ialah kerjasama pasca Covid-19 dalam bidang pertanian dan keselamatan makanan serta pertukaran diplomatik kedua-dua negara tersebut.

Lawatan kerja Hishammuddin ke atas Menteri Hal Ehwal Luar dan Kerjasama Antarabangsa UAE itu meneroka jalinan persaudaran yang lebih kukuh antara Putrajaya dengan Abu Dhabi.

“UAE adalah antara rakan perdagangan terpenting Malaysia dengan jumlah dagangan dua negara bernilai AS$6.43 bilion (RM26.09 bilion) pada 2019,” katanya.

Bahkan, negara itu merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia dan sumber import kedua terbesar di rantau Asia Barat yang mempunyai 21 buah negara dengan penduduk 314 juta.

Malaysia sebagai timbal balas, komited menawarkan peluang sebagai lokasi strategik pintu masuk ke pasaran rantau Asia Tenggara yang ada 10 buah negara dengan populasi 650 juta.

Hishammuddin dijadualkan pulang ke tanah air hari ini dan seterusnya menjalani kuarantin mandatori yang ditetapkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah pencegahan Covid-19.

Malaysia membuka kedutaannya di Abu Dhabi sejak 1983 dan pada ketika ini dianggarkan terdapat lebih 6,000 rakyat negara ini yang bertugas di sekitar UAE dalam pelbagai sektor.

Hubungan itu semakin erat susulan lawatan rasmi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2014 yang menyaksikan pelbagai memorandum kerjasama dimeterai.

Sebagai balasan, UAE menghadiahkan sebuah masjid di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur yang seni bina ala Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi dan mampu memuat 40,000 jemaah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya