Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech Ahad ini - Muhyiddin

Malaysia terima vaksin Pfizer-BioNTech Ahad ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan berita gembira bahawa bekalan vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada Ahad ini. 

Menurut Perdana Menteri, ia sekali gus membolehkan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan sebagaimana dirancangkan iaitu bermula 26 Februari ini.

Katanya, beliau sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan.

“Program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dan akhirnya dapat menamatkan pandemik.

“Vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti. Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan  Buku Panduan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan  laman web www.VaksinCovid.gov.my di pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.

Laman web itu membolehkan Buku Panduan Program Imunisasi ini boleh dimuat turun. 

Yang turut hadir ialah Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Muhyiddin berkata, Buku Panduan itu diterbitkan untuk menerangkan lebih lanjut berhubung dasar program imunisasi. 

Katanya, dokumen ini bukan sahaja menjadi rujukan kepada para pembuat dasar dan pelaksana, tetapi juga untuk rujukan masyarakat. 

Seperti yang telah diumumkan, katanya, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengandungi tiga fasa iaitu fasa pertama akan melibatkan petugas barisan hadapan, bermula 26 Februari sehingga April ini. 

Bagi fasa kedua pula, katanya, ia akan bermula April sehingga Ogos ini dan akan melibatkan kumpulan berisiko tinggi, manakala Fasa Ketiga akan melibatkan golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas, bermula dari bulan Mei 2021 sehingga Februari 2022. 

“Apabila semua orang dilindungi dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, impak positif akan mula kita rasai. 

“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu,” katanya.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, vaksin Covid-19 adalah antara sinar harapan paling utama untuk kita menang dalam perang melawan Covid-19 dan pastinya satu lembaran baharu bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini. 

“Oleh itu, janganlah kita mengambil mudah tentang perkara ini. Apabila tiba masanya, jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin. 

“Ingatkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk turut serta. Pastikan kita hadir pada waktu yang telah ditetapkan, untuk dos pertama dan juga dos kedua, kerana apabila diri kita dilindungi, kita juga dapat melindungi yang lain terutama orang yang disayangi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.