Kuih koci penyeri Tahun Baharu Cina - Utusan Malaysia

Kuih koci penyeri Tahun Baharu Cina

YEE Choo Im, 71, yang merupakan generasi keenam Cina Peranakan menghasilkan kuih koci kacang hijau untuk sajian Tahun Baharu Cina di kediamannya di Kampung Tiruk, Kuala Terengganu hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sambutan Tahun Baharu Cina bagi sebuah keluarga Cina Peranakan di Kampung Tiruk, di sini seolah-olah tidak lengkap tanpa juadah istimewa, kuih koci kacang hijau.

Menurut Yee Choo Im, 71, kuih tradisional yang lazimnya dihasilkan semasa musim perayaan itu bukan sahaja digemari ahli keluarga, bahkan turut menjadi pilihan para tetamu yang berkunjung ke rumah termasuk kenalan berbangsa Melayu.

Ibu tunggal kepada tujuh anak itu berkata, walaupun Tahun Baharu Cina kali ini diraikan secara sederhana tanpa makan besar tetapi dia tetap menghasilkan kuih koci kacang hijau tersebut atas permintaan insan tersayang.

“Kebanyakan makanan Tahun Baru Cina untuk masyarakat Cina Peranakan sama seperti orang Melayu cuma kuih koci warisan nenek moyang ini agak istimewa kerana setiap tahun mesti ada sebagai penyeri raya.

“Hari ini saya menyiapkan 60 biji kuih koci yang ditempah jiran manakala untuk keluarga pula akan dibuat esok selain turut diberikan kepada kawan-kawan Melayu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Choo Im yang merupakan generasi keenam Cina Peranakan berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, kaedah pembuatan kuih koci kacang itu turut dipelajari enam anak perempuannya bagi memastikan resipi tersebut terus diwarisi.

Nenek kepada 17 cucu itu memberitahu, selain kuih koci, dia turut mengagihkan kuih bulan yang dihasilkannya kepada rakan-rakan Melayu beberapa hari lalu.

“Saya bersyukur kerana kebanyakan anak-anak tinggal sekitar Kuala Terengganu dan akan pulang berperingkat di rumah, cuma yang tiada hanya seorang kerana menetap di Kelantan.

“Walaupun sambutan ala kadar dan tiada baju baharu tetapi masih seronok kerana dapat tengok anak cucu di rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya