Kes rasuah projek tenaga solar: Nasib Rosmah diketahui esok

Kes rasuah projek tenaga solar: Nasib Rosmah diketahui esok

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Nasib Datin Seri Rosmah Mansor sama ada dibebaskan atau dipanggil membela diri dalam kes rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak, akan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi di sini, esok.

Isteri bekas Perdana Menteri itu bakal menjadi tumpuan umum kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh Hakim Mohamed Zaini Mazlan akan membawa impak yang besar terhadap beliau.

Jika mahkamah mendapati wujud kes prima facie pada akhir kes pendakwaan terhadap Rosmah, 69, beliau akan diperintah membela diri dan berpeluang mengemukakan saksi-saksi pembelaannya.

Beliau mempunyai tiga pilihan untuk membela diri namun kebiasaannya tertuduh-tertuduh akan memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah daripada kandang saksi yang mana pihak pendakwaan akan diberi peluang untuk menyoalnya semasa pemeriksaan balas.

Namun jika hakim berkenaan berpuas hati bahawa pertuduhan rasuah yang dihadapinya tidak dapat dibuktikan, beliau akan dibebaskan.

Pada 11 Disember tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 23 saksi termasuk bekas Pegawai Khas Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan ketika itu, Tan Sri Madinah Mohamed.

Rosmah sepatutnya dibicarakan bersama Rizal, 46, yang didakwa terhadap empat tuduhan meminta dan menerima rasuah bagi pihak Rosmah atas projek berkenaan.

Bagaimanapun pada 8 Januari tahun lalu, sebelum perbicaraan bermula, mahkamah membebaskan Rizal daripada tuduhan setelah pihak pendakwaan menarik balik keempat-empat tuduhan terhadapnya. Rizal kemudian menjadi saksi utama pendakwaan.

Pada 15 November 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Bagi pertuduhan pertama, beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak), Saidi Abang Samsudin untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Rizal, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.  

Kesalahan didakwa  dilakukan di kediamannya di ‪No. 11, Jalan‬ ‪Langgak‬ ‪Duta,‬ ‪Taman‬ ‪Duta pada 7 September 2017.

Pada 10 April 2019, Rosmah sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa. 

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama iaitu hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

KRONOLOGI KES RASUAH ROSMAH MANSOR

15 November 2018

  • Didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap satu tuduhan meminta suapan RM187.5 juta dan satu tuduhan menerima suapan RM1.5 juta.

10 April 2019

  • Didakwa kali kedua di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap satu tuduhan menerima suapan RM5 juta

5 Februari 2020

  • Kes mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi

11 Disember 2020 

  • Pendakwaan menutup kes.

10 Februari 2021

  • Penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya