Kerajaan tuntut tunggakan cukai RM67.9 juta daripada sekutu Jho Low - Utusan Malaysia

Kerajaan tuntut tunggakan cukai RM67.9 juta daripada sekutu Jho Low

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

-KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menuntut tunggakan cukai pendapatan daripada Tan Kim Loong yang dikatakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Saman tersebut difailkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi pihak kerajaan selaku plaintif pada 15 Januari lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Berdasarkan semakan, kes itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 16 Mac ini di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Shuhada Ramli.

Nama Kim Long atau turut dikenali sebagai Eric Tan pernah disebut sewaktu perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurut kenyataan Kim Loong yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 29 November 2015, lelaki itu menyatakan pernah menyalurkan wang berbilion ringgit ke akaun Najib di antara 2011 hingga 2015 melalui beberapa syarikat miliknya namun tidak mengetahui punca wang tersebut.

Namanya juga pernah disebut dalam perbicaraan bekas pegawai Bank BSI SIngapura, Yeo Jia Wei yang dihukum penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan penggubahan wang haram dan penipuan berkaitan dengan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Kim Loong yang dinamakan sebagai defendan telah gagal membayar cukai pendapatan selama empat tahun iaitu sebanyak RM2,706,021.82 bagi tahun 2010, RM22,090,949.92 (2011), RM35,479,911.48 (2012) dan RM1,538,473.04 (2013).

Notis-notis taksiran telah dihantar pada 24 November 2020 ke alamat terakhir defendan di Taman Pusat Kepong dekat sini namun tidak pernah dikembalikan semula kepada plaintif.

Kegagalan membayar cukai dalam tempoh masa yang ditetapkan tersebut telah menyebabkan jumlah-jumlah tersebut telah meningkat sebanyak 10 peratus bagi setiap tahun yang ditaksirkan itu sehingga kini.

Sehubungan itu, plaintif menuntut Kim Long membayar tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM67,996,891.87.

Turut dimohon ialah faedah sebanyak lima peratus terhadap jumlah tunggakan itu dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh, kos dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.