KADA agih haiwan diternak secara pawah - Utusan Malaysia

KADA agih haiwan diternak secara pawah

KAMARUDIN Md. Nor (kiri) menyerahkan kambing kepada penerima di Kampung Alor Hijau, Pasir Puteh hari ini.- UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) memperuntukkan RM2 juta bagi membekalkan lembu, kambing dan biri-biri kepada 1,040 petani untuk diternak secara pawah.

Pengerusinya, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, sebagai permulaan, Program Peningkatan Pendapatan Petani Berskala Kecil itu melibatkan 16 orang di daerah ini yang masing-masing menerima lima ekor kambing hari ini.

Menurut beliau, projek awal dengan kos RM72,000 itu diharap mampu mencapai matlamat untuk meningkatkan pengeluaran daging kambing tempatan selain melahirkan usahawan ternakan dalam kalangan petani KADA.

“Selain agihan haiwan ternakan, kita juga menyediakan kursus penternakan dan bimbingan untuk para petani menghasilkan makanan ternakan sendiri.

“Program ini melibatkan 1,040 petani yang akan dipilih berdasarkan syarat ditetapkan selain kriteria tambahan iaitu gigih dan berdaya usaha,” katanya selepas mengagihkan kambing kepada penerima di Kampung Alor Hijau di sini hari ini.

Agihan itu dibuat secara pandu lalu melibatkan beberapa lokasi seperti Ladang Tenusu Jeram Mengaji, Kampung Permatang Gading dan Kampung Merkang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, KADA merancang mengagihkan bantuan ayam dan itik  percuma kepada petani terpilih dalam konteks membantu meningkatkan pendapatan kumpulan sasaran.

Dalam pada itu, Kamarudin memberitahu, KADA bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menghasilkan ‘silaj’ iaitu makanan tambahan berkhasiat untuk ternakan ruminan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap dedak.

Menurutnya, sebuah kilang pemprosesan silaj bernilai RM200,000  dibina di Pertubuhan Peladang Kubang (PPK) Sepat, Tendong, Pasir Mas yang akan beroperasi tidak lama lagi menggunakan rumput gajah, batang jagung dan campuran daun kayu.

“Kilang itu berupaya menghasilkan kira-kira 100 tan silaj sebulan yang akan menjadi model kepada penternak lain menghasilkan silaj sendiri dalam menghadapi musim kenaikan harga dedak ketika ini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya