Inisiatif Kotak Ilmu bantu murid tercicir sertai PdPR - Utusan Malaysia

Inisiatif Kotak Ilmu bantu murid tercicir sertai PdPR

KOTAK ilmu yang disediakan SK Taman Rinting 3 bagi memudahkan murid-murid yang berdepan kekangan mengikuti sesi PdPR di Pasir Gudang, Johor. – utusan/AZIAN ZAINUL BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3, di sini mengambil inisiatif mewujudkan Kotak Ilmu iaitu penyediaan bahan pembelajaran secara bukan atas talian untuk 825 muridnya.

Guru Besar sekolah itu, Azian Zainul Bidin berkata, kaedah tersebut sebagai alternatif kepada kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan ketika ini.

“Pihak sekolah menggunakan kaedah secara ‘off-site’ iaitu menyediakan bahan pembelajaran dalam kotak diberi nama Kotak Ilmu. Ini khusus untuk murid yang kurang berkemampuan dan tidak ada peranti pintar.

“Ia diilhamkan apabila melihat ramai murid tidak dapat mengikuti pembelajaran secara atas talian kerana tidak memiliki peranti pintar atau mempunyai peranti pintar yang terhad. Kita juga sedar kebanyakan ibu bapa terdiri dalam kalangan keluarga B40,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Azian, sebelum ini apabila menyediakan bahan pembelajaran menerusi aplikasi WhatsApp, ramai yang tidak dapat mengikutinya kerana cara itu memerlukan bahan-bahan tersebut dicetak.

Kaedah itu katanya, membebankan ibu bapa kerana tidak semua mempunyai pencetak di rumah dan apabila dicetak di luar memerlukan kos yang bukan sedikit.

“Jadi dengan cara Kotak Ilmu ini guru dapat menyampaikan bahan pembelajaran dengan lebih cepat dan tidak memerlukan kos atau sebarang penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT),” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan kaedah itu dibuat dengan guru meletakkan bahan atau modul dalam kotak khas dan murid akan mengambilnya secara berkala untuk di bawa balik dan disiapkan.

“Setelah siap ibu bapa murid akan menghantar kembali tugasan tersebut ke dalam kotak untuk disemak dan ditanda guru masing-masing,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya