IMBRT guna teknologi futuristik - Utusan Malaysia

IMBRT guna teknologi futuristik

HASNI Mohammad (kiri) melancarkan Kempen Komemoratif 15 Tahun Iskandar Malaysia yang diadakan secara maya di Johor Bahru. Turut kelihatan, Ismail Ibrahim (kanan).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pelaksanaan projek Transit Bas Rapid Iskandar Malaysia (IMBRT) yang menyaksikan penggunaan teknologi terkini inovatif sekali gus bakal merubah landskap pengangkutan awam darat tempatan khususnya bagi kawasan Iskandar Malaysia.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim berkata, ciri-ciri inovatif itu termasuk penggunaan teknologi kenderaan pandu sendiri, penggunaan bekalan tenaga elektrik dan reka bentuk bas yang futuristik.

Katanya, IMBRT membabitkan pemanduan automatik sepenuhnya dan ia adalah yang pertama seumpamanya dalam negara tidak dikendalikan oleh pemandu.

“Selain itu, IMBRT turut dijana oleh tenaga elektrik, namun ini tidak melibatkan penggunaan wayar atau rangkaian tetapi penggunaan bateri yang mana bateri itu akan dicas semalaman selain turut dicas ketika berhenti di stesen ditetapkan.

“Satu lagi ciri inovatif IMBRT ini adalah reka bentuk futuristik yang telah terbukti dan digunakan di beberapa negara maju khususnya di benua Eropah,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Majlis Pelancaran Kempen Komemoratif 15 Tahun Iskandar Malaysia yang diadakan secara maya, di sini hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani.

Ismail memberitahu, projek berkenaan kini masih dalam peringkat awalan dan kerja-kerja pembinaan infrastruktur dijangka bermula seawal suku keempat tahun ini, namun pengenalan teknologi itu dibuat menerusi projek perintis yang akan dilancarkan.

“Projek perintis ini dijangka melibatkan tempoh antara tiga hingga empat bulan yang bertujuan memperkenal ciri-ciri futuristik IMBRT kepada umum selain memberi pihak berwajib membuat penilaian terhadap kebolehlaksanaan projek ini.

“Apa yang penting adalah kemampuan membawa penumpang dalam jumlah yang besar iaitu sehingga 300 orang pada waktu puncak bagi laluan tertentu berbanding reka bentuk bas sedia ada yang hanya mampu membawa seramai 40 orang.

“Namun itu tidak bermakna semua laluan melibatkan kemampuan membawa penumpang yang ramai, tetapi sebaliknya ia bergantung kepada lokasi dan hierarki tempatan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan projek itu tidak terjejas walaupun kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha mengekang penularan pandemik Covid-19 ketika ini.

“Projek IMBRT ini adalah satu projek infrastuktur yang dibiayai dana awam, oleh itu ia mendapat kebenaran untuk diteruskan namun pelaksanaannya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.

“Selain itu, beberapa projek IRDA yang masih dibenarkan untuk dilaksanakan termasuklah projek landskap Sungai Segget, Kempas Interchange dan Lebuhraya Tanjung Piai yang pembinaannya mematuhi arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya