ISKANDAR PUTERI: Satu taktik cuba membawa keluar ubi kentang seberat 850 kilogram (kg) tanpa permit sah melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), di sini, untuk dihantar ke Singapura gagal.
Ini berikutan pemeriksaan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) terhadap sebuah lori, semalam mendapati hanya 150 kilogram ubi kentang tersebut diikrarkan dalam permit eksport.
Pengarah Maqis negeri, Nur Afifah A. Rahman berkata, produk dagangan berkenaan dikesan pihaknya ketika pemeriksaan rutin dibuat terhadap sebuah lori kira-kira pukul 7.30 malam.
“Pemeriksaan yang dibuat menemukan 1,000 kilogram ubi kentang yang diletakkan di dalam 100 guni dengan nilai dianggarkan kira-kira RM1,020 bersama sayur-sayuran lain.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, jumlah barang dagangan yang dibawa tidak sama seperti di dalam permit yang diikrarkan iaitu 150 kilogram ubi kentang mendapat permit eksport sah, manakala 850 kilogram lagi tidak mempunyai permit sah dari Maqis,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN