Gagal seludup kucing parsi guna pesawat peribadi - Utusan Malaysia

Gagal seludup kucing parsi guna pesawat peribadi

KUCING parsi dari Kemboja yang tiada permit import cuba diseludup masuk oleh wanita warga China di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor Khamis lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan seorang wanita warga China menyeludup masuk seekor kucing parsi dari Kemboja untuk peliharaan dengan menggunakan pesawat peribadi sia-sia selepas perbuatan itu dikesan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri, Khamis lalu.

Kucing berharga RM350 itu dikesan dalam pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 4.30 petang di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang dekat sini.

Pengarah Maqis negeri, Zamri Hashim berkata, hasil pemeriksaan dijalankan mendapati kucing tersebut tidak mempunyai permit import sah dan dokumen yang diperlukan.

“Malah, pemilik berusia 43 tahun ini gagal mengemukakan permit import Maqis dan dokumen berkaitan.

“Ini adalah rampasan pertama penyeludupan melibatkan pesawat peribadi dan keterangan awal diambil mendapati pemilik terbabit berada di Malaysia atas urusan kerja,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zamri menegaskan, kegagalan mengemukakan dokumen permit import semasa pemeriksaan di pintu masuk adalah suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Menurutnya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Penting untuk pengimport mematuhi syarat-syarat pengimportan haiwan peliharaan bagi memastikan haiwan tersebut bebas daripada sebarang risiko penyakit.

“Kita sentiasa teliti dalam melakukan pemeriksaan bagi setiap komoditi haiwan, tumbuhan dan karkas sama ada yang diimport atau dieksport bagi mengawal serta menjaga biosekuriti dan kawalan penyakit serta keselamatan makanan di dalam negara,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya