KUBANG PASU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kedah menggagalkan cubaan membawa masuk kubis segar tanpa mematuhi syarat import dipercayai dari Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam di sini, kelmarin.
Pengarah Maqis negeri, Lily Rosalind Paul berkata, hasil pemeriksaan rutin pada pukul 6.20 petang yang dilakukan pegawai ke atas sebuah lori dari negara jiran itu menemukan kubis seberat 21,160 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM21,160.
“Kubis yang cuba dibawa masuk itu tidak mematuhi syarat import sepertimana yang ditetapkan iaitu gagal mematuhi Perakuan Pengredan, Pembungkusan dan Perlabelan sebagaimana yang dinyatakan dalam sijil 3P.
“Kesemua dagangan ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan undang-undang terus diperkasa di semua pintu masuk negara bagi keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi memastikan aspek biosekuriti negara terjamin. – UTUSAN ONLINE