Ada negara sedia biayai kos vaksin Covid-19 kepada pelarian UNHCR - Utusan Malaysia

Ada negara sedia biayai kos vaksin Covid-19 kepada pelarian UNHCR

M. SARAVANAN menerima kunjungan delegasi daripada Pejabat UNHCR diketuai Thomas Albrecht khusus bagi membincangkan program imunisasi Covid-19 kepada pemegang kad UNHCR di negara ini, di Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Beberapa buah negara menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi Covid-19 kepada pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, imunisasi itu perlu diperluas kepada golongan pemegang kad UNHCR bagi memastikan tidak wujudnya kluster Covid-19 dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, UNHCR menganggarkan lebih 20,000 individu belum berdaftar dengan badan tersebut.

“Program imunisasi ini memerlukan pembabitan daripada UNHCR bagi tujuan penyebaran maklumat di lapangan selain penyertaan kementerian dan agensi kerajaan.

“Pertubuhan masyarakat juga boleh memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti pemegang kad UNHCR berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan delegasi daripada Pejabat Pesuruhjaya Tinggi diketuai Thomas Albrecht khusus bagi membincangkan program imunisasi Covid-19 kepada pemegang kad UNHCR di negara ini.

Sementara itu, Saravanan berkata, sehingga Disember tahun lalu, terdapat sejumlah 178,610 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar dengan pejabat UNHCR di Malaysia.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 154,030 orang adalah daripada Myanmar dengan 102,250 etnik Rohingya dan 22,140 etnik Chin dan etnik-etnik lain.

“Isu yang dibincangkan selaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula esok dan merangkumi tiga fasa,” katanya.

UNHCR adalah sebuah badan di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab dalam aspek memelihara hak dan kebajikan pelarian.

Pelarian dan pemohon suaka adalah antara isu migrasi antarabangsa yang dihadapi oleh kebanyakan negara di dunia termasuk Malaysia. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.