Tun Salleh Abas: ‘Gergasi’ kehakiman dan perundangan - Utusan Malaysia

Tun Salleh Abas: ‘Gergasi’ kehakiman dan perundangan

Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEGUAM terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menyifatkan Allahyarham Tun Dr. Mohamed Salleh Abas sebagai tokoh berjiwa besar yang mempunyai pemikiran mendalam serta berpandangan jauh ketika berhadapan dengan pelbagai isu undang-undang.

Ujar Muhammad Shafee, walaupun bertubuh kecil, bekas Ketua Hakim Negara itu merupakan ‘gergasi’ dalam bidang diceburinya yang mana tiada sesiapapun patut me­nyangkal bahawa Allahyarham ketika hayatnya adalah seorang bermoral tinggi dan mempunyai kredibiliti kukuh.

Beliau menegaskan, mana mungkin seorang pegawai pa­ling kanan kehakiman pada zamannya yang melatih para pegawai bawahan agar sentiasa menjaga maruah dan berani mendukung moral serta keadilan, terlibat dalam isu yang menggemparkan institusi kehakiman negara suatu ketika dahulu.

“Seorang individu yang sa­ngat rajin, cerdik, mempunyai pemikiran yang konservatif dan sangat ‘Inggeris’ dalam didikan perundangan, tegas serta warak. Beliau adalah tokoh paling jujur pernah saya berurusan seumur hidup,” ujarnya kepada Mingguan Malaysia semalam melalui aplikasi WhatsApp.

Mohamed Salleh adalah Lord President Mahkamah Agung yang terakhir pada 1988 sebelum digantikan gelaran itu kepada Ketua Hakim Negara pada tahun yang sama sewaktu era pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad. Mahkamah Agung kini dikenali sebagai Mahkamah Persekutuan.

Beliau dipecat oleh tribunal yang dibentuk selepas peristiwa pengharaman UMNO pada 1988.

Muhammad Shafee berkongsi memoir pendek bersama bekas Ketua Hakim Negara tersebut ketika Allahyarham berjawatan Peguam Cara Negara.

Menelusuri kenangan silam bersama-sama Mohamed Salleh, peguam tersebut berkata, beliau mula mengenalinya ketika menyertai Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai timbalan pendakwa raya (DPP) pada 1977.

Menurut Muhammad Shafee, beliau diberikan sebuah bilik yang sama diduduki oleh DPP dan peguam-peguam kanan persekutuan (SFC) lain di salah sebuah sayap di Ba­ngunan Sultan Abdul Samad yang kini terletaknya menara jam besar berhadapan Padang Kelab Selangor.

Ujarnya, Mohamed Salleh ketika itu berjawatan Peguam Cara Negara dan ia memberikannya peluang bertemu beliau hampir setiap hari kerana pejabatnya terletak sangat dekat dengan perpustakaan jabatan tersebut.

“Tun acapkali bekerja hingga lewat malam membuat penyelidikan dan beliau maklum kehadiran saya kerana perpustakaan hanya terletak berse­belah pintu pejabatnya. Beliau mungkin tertarik dan menyedari tugas-tugas penyelidikan yang dibuat oleh DPP baharu seperti saya,’’ ujarnya.

Menurut Muhammad Shafee, bekas Ketua Hakim Negara itu dibantu oleh Ketua Pustakawan, Sivaswami yang sedia berkhidmat hingga lewat malam jika terdapat kes penting.

Ujarnya, tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau merupakan sesatunya pegawai baharu yang berkesempatan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Mohamed Salleh berhubung pertikaian mengenai isu undang-undang walaupun Allahyarham bukan mudah untuk didekati oleh orang awam.

“Malah saya bebas bertemu Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Hamzah Abu Samah,” ujar­nya.

Muhammad Shafee turut menyatakan, beliau lega apabila Mohamed Salleh dilantik sebagai Lord President kerana ya­kin bahawa sistem kehakiman negara akan berada di bawah seorang tokoh berwibawa se­pertinya.

Antara kes yang pernah diputuskan oleh beliau ialah kes saman fitnah membabitkan wartawan luar negara, John Berthelsen, Raphael Pura dari Wall Street Journal yang dide­ngar di Mahkamah Agung (kini Mahkamah Persekutuan).

Mohamed Salleh kembali ke rahmatullah pukul 3.20 pagi semalam pada usia 91 tahun ketika dirawat di di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Terengganu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN