Tiada perkataan harian boleh didaftarkan – MyIPO - Utusan Malaysia

Tiada perkataan harian boleh didaftarkan – MyIPO

NOOR KARTINI NOOR MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menjelaskan tiada perkataan harian yang boleh didaftarkan sebagai jenama mana-mana produk termasuk perkhidmatan yang bertujuan menunjukkan jenis, kualiti, kuantiti, ke­gunaan spesifik, nilai, tempat asal geografi dan ciri-ciri lain.

Jurucakap MyIPO berkata, pihaknya hanya boleh meluluskan permohonan cap dagangan sekiranya ia bukan perkataan harian seperti yang disebutkan di atas dan sebaiknya berada dalam kategori unik serta di­cipta sendiri selain berbeza dengan sebarang jenama lain sebagaimana yang dibenarkan oleh undang-undang cap dagangan di Malaysia.

“Untuk perkataan harian biasa yang deskriptif terhadap barangan atau perkhidmatan tidak boleh didaftarkan dan sewajarnya tiada sekatan untuk mana-mana pihak gunakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurut jurucakap tu, permohonan berdasarkan nama suatu negara atau mengandu­ngi petunjuk geografi juga tidak boleh didaftarkan.

Sementara itu, berkenaan isu permohonan Syarikat Noor Khan Enterprise milik Datin Noor Kartini Noor Mohamed, pihaknya ha­nya menerima permohonan untuk melindungi perkataan ‘Harimau Menangis’ dalam penggayaan tulisan yang dipilihnya.

Permohonan tersebut masih lagi dalam proses semakan dan pemeriksaan.

“Pendaftaran cap daga­ngan adalah secara keseluruhan ke­cuali diluluskan dengan had-had atau syarat-syarat tertentu. Pertimbangan kelulusan atau penolakan ‘Harimau Menangis’ akan dibuat mengikut pemeriksaan dan prinsip-prinsip keboleh­daftaran suatu cap dagangan di Malaysia,“ jelasnya.

Rabu lalu, kenyataan Noor Kartini melalui video berdurasi 37 saat tular apabila memberitahu pihaknya sudah mendaftar untuk mempatenkan trademark Harimau Menangis. Ekoran itu, ramai yang membuat bantahan selain menyifatkan tindakan itu sebagai keterlaluan.

Bagaimanapun, Noor Kartini menjelaskan dia akan menarik balik permohonannya secepat mungkin dan menegaskan tidak berniat untuk menutup periuk nasi sesiapa. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×