GUA MUSANG: Anak-anak Orang Asli di Kampung Aring 5, di sini terus ketinggalan dalam pembelajaran susulan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak dapat dilaksanakan kerana tiada liputan internet dan masalah pemilikan peranti.
Turut menyumbang keciciran pelajar dan murid Orang Asli adalah kerana ibu bapa golongan tersebut tiada pengetahuan dengan aktiviti maya sekali gus menimbulkan persoalan bagaimana mereka boleh membantu anak-anak mengikuti PdPR.
Seorang bapa kepada murid Orang Asli, Syaimi Hek @ Ab. Hadi, 40, berkata, walaupun mungkin masyarakat di bandar gembira untuk memulakan sesi persekolahan, tetapi bagi mereka tidak dapat merasai situasi itu.
“Anak-anak kami sudah lama tidak belajar sejak Mac tahun lalu. Saya yakin sesi sekolah menerusi penggunaan telefon pintar juga hanya untuk orang bandar.
“Kalau kerajaan bagi internet, telefon pula tidak ada. Macam mana anak kami mahu belajar. Kalau tidak belajar sudah tentu anak kami terus tercicir dan kekal tinggal di hutan,” katanya yang ada anak bersekolah rendah di sini semalam.
Selain itu, menurutnya, kerajaan Pusat dan negeri seolah-olah tidak peduli dengan masalah anak Orang Asli sehingga membuat keputusan tidak mengambil kira kawasan pedalaman.
“Sebelum ini, kami ada usaha minta liputan internet dan talian telekomunikasi tetapi tidak dapat sampai sekarang,” ceritanya.
Mira Latif, 40, pula berkata, kerajaan patut mempertimbang sekolah di kawasan penempatan Orang Asli diteruskan seperti biasa kerana di sini tiada ancaman Covid-19.
“Jangan bandingkan kawasan jauh di pedalaman dengan anak-anak orang di Kota Bharu atau Kuala Lumpur. Anak-anak kami tidak ada telefon pintar apatah lagi internet.
“Anak-anak kami masih seronok main sungai dan panjat pokok ketika anak-anak orang bandar pegang telefon,” katanya yang mempunyai dua anak yang bersekolah rendah dan menengah.
Kata wanita itu lagi, masalah pembelajaran secara PdPR juga diyakini dihadapi Orang Asli di lokasi lain cuma bezanya sama ada lebih baik atau lebih teruk.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Aring 5, Asrul Hussin pula berkata, kampung tersebut mempunyai lebih 300 penduduk dengan 30 anak-anak yang masih belajar.
Menurutnya, ibu bapa Orang Asli memang bimbang dengan prestasi pelajaran anak masing-masing tetapi tidak tahu saluran untuk menyelesaikannya.
Katanya, walaupun sudah ramai ibu bapa Orang Asli mempunyai telefon bimbit, tetapi mereka berdepan kesukaran untuk membantu anak belajar di rumah akibat masalah internet.
“Capaian internet adalah cabaran paling besar di kampung ini kerana rangkaiannya sangat teruk.
“Kami tidak dapat mengakses internet ketika berada di rumah dan terpaksa keluar ke kawasan berbukit di kampung untuk mencari internet,” katanya.
Sementara itu, Penghulu Aring 5, Raina Anjang berharap kerajaan dapat menambah baik capaian internet dan telekomunikasi di kampung pedalaman Orang Asli.
Katanya, masalah capaian internet dan talian telekomunikasi sudah lama menyukarkan mereka terutama jika ingin melaporkan sesuatu kes kecemasan atau bencana di kawasan kampung.
Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang dijadualkan bermula 20 Januari di seluruh negara ditangguhkan berikutan keadaan semasa jangkitan Covid-19.
Semua murid sekolah rendah dan murid Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah pula akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR mengikut kesesuaian guru dan murid. -UTUSAN










