‘Terpisah’ beberapa saat daripada maut - Utusan Malaysia

‘Terpisah’ beberapa saat daripada maut

KEADAAN lori dan treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga mengorbankan tiga lelaki dalam kejadian di Jalan Kluang-Batu Pahat, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pemandu lori dan kelindannya terselamat dalam kemalangan ngeri meragut tiga nyawa yang hanya berlaku kira-kira 100 meter di hadapan mereka, membabitkan sebuah lori lain dengan treler di Jalan Kluang-Batu Pahat, dekat sini semalam.

Mohamad Sazali Mohd. Said, 30, berkata, dia dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru ke Kluang ketika kejadian tersebut dan bersyukur kerana ‘terlambat’ sedikit melalui lokasi kejadian itu yang mengakibatkan tiga lelaki maut.

“Saya melihat kemalangan berkenaan berlaku hampir 100 meter di hadapan. Mujur saya dapat mengawal dan memberhentikan kenderaan di tepi jalan dan bergegas memberikan pertolongan kepada mangsa kemala­ngan.

“Jika awal sedikit, mungkin saya dan kelindan menemukan ajal di situ akibat rempuhan ter­babit yang berlaku depan mata kami,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.28 pagi itu, mangsa yang maut ialah Mohamad Azraai Moha­mad Rizal, 24, yang memandu lori membawa muatan peralatan bengkel bersama dua kelinda­nnya, Deli Mustapha, 59, dan Sadam Hussin Hamidon, 30.

Mereka yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan disahkan maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam rempuhan terbabit.

Mohamad Sazali berkata, dia menjerit memanggil mangsa yang tersepit dalam lori tersebut namun tidak berbalas sebelum bergegas ke arah lori treler terbabit.

“Saya lihat pemandu treler masih di tempatnya dan sedar. Pemandu lori lain juga ada yang memberhentikan kenderaan dan kami cuba membantu menyelamatkan mangsa ,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu treler terbabit hilang kawalan sebelum masuk lorong bertentangan dan me­rempuh lori itu.

“Sampai di tempat kejadian, treler terbabas dan melanggar lori itu sehingga mengakibatkan tiga mangsa maut, manakala pemandu treler berkenaan me­ngalami cedera ringan,” kata­nya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN