Risau banjir besar berulang - Utusan Malaysia

Risau banjir besar berulang

KEDAI makan milik keluarga Radin Mazuwin Zakarya di bandar Kota Tinggi, Johor, ditenggelami air paras pinggang akibat banjir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Penduduk di sekitar bandar Kota Tinggi di sini mulai bimbang berikutan banjir yang melanda daerah ini dilihat luar biasa berbanding tahun sebelumnya.

Penduduk Taman Aman, Mohd. Azizie Kassim, 45, berkata, hujan lebat kelmarin yang berterusan dalam masa satu jam menyebabkan rumahnya dinaiki air susulan limpahan dari Sungai Pemandi.

Katanya, kawasan perumahannya biasa dilanda banjir apabila berlaku hujan lebat berte­rusan ditambah pula adanya fenomena air pasang.

“Sejujurnya semua orang bimbang termasuk saya kerana situasi sekarang ini tidak se­perti selalu. Kali ini seluruh Kota Tinggi diberitakan ada lokasi penempatan banjir.

“Limpahan air akibat empangan penuh juga dipercayai menjadi punca berlakunya banjir di setiap arah. Jika empangan tidak dibuka berperingkat pasti akan pecah dan tidak mustahil peristiwa banjir 2006 dan 2007 berulang yang mana Kota Tinggi tenggelam sekali lagi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bagi peniaga, Radin Mazuwin Zakarya, 28, jika hujan berterusan keadaan banjir pasti menjadi lebih buruk.

Katanya, dia mendapat maklumat tentang banjir yang berlaku di kedai makan keluar­ganya pagi semalam selepas dihubungi kenalan.

“Selepas mendapat tahu kedai dinaiki air kami bergegas menyelamatkan barang elektrik namun air tetap naik tinggi dan kami tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya.

Jelasnya, kedai yang diusahakan sejak lebih 10 tahun itu sudah tiga kali dilanda banjir bahkan keluarganya pernah merasai pengalaman berdepan bah besar 15 tahun lalu.

“Dulu kami tinggal di Kampung Tembioh. Selepas banjir besar menenggelamkan Kota Tinggi kami dipindahkan di penempatan baharu.

“Banjir kali ini agak teruk meskipun air tidak naik sede­ras seperti tahun 2007 kerana ketika itu kami langsung tidak sempat untuk menyelamatkan apa-apa,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Johor Lama, Rosleli Jahari tidak menjangkakan hujan lebat sejak semalam menyebabkan Kota Tinggi dilanda banjir.

“Kita tidak pasti sumber air sebenar, sama ada disebabkan air pasang atau pembuangan air Empangan Linggiu.

“Jika hujan mula reda, dijang­ka air tidak lagi membanjiri kawasan bandar khasnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN