Rakyat tolak pemimpin UMNO - Utusan Malaysia

Rakyat tolak pemimpin UMNO

MOHAMAD FAZLI MOHAMAD SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: UMNO perlu segera mengadakan pemilihan parti bagi membolehkan perwakilan memilih kepemimpinan yang benar-benar layak ‘mengemudi kapal’ demi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pemimpin-pemimpin UMNO sedia ada tidak boleh hanya sekadar mendesak PRU-15 segera diadakan, malah perlu bersedia membariskan pemimpin yang berkaliber, bersih dan disukai rakyat.

Malah, beliau berkata, pemilihan pemimpin parti berperwatakan sedemikian adalah penting untuk ditonjolkan sebagai Perdana Menteri alternatif sekiranya dalam PRU-15 nanti, UMNO tidak bersama Perdana Menteri yang ada sekarang.

Katanya, persepsi rakyat yang menolak sesetengah pemimpin UMNO perlu diambil perhatian kerana UMNO perlu mengikut arus denyut nadi rakyat, bukan semata-mata menjaga sentimen ahli UMNO untuk menang PRU-15.

“UMNO perlu melakukan pemilihan kepemimpinan bagi menghadapi PRU-15 iaitu dengan mengadakan pemilihan seperti yang dijadualkan tahun ini dan perwakilan mampu memilih pemimpin yang disukai oleh rakyat.

“UMNO tidak boleh menang PRU-15 dengan undi ahlinya sahaja tetapi undi rakyat. Kali ini perwakilan UMNO perlu bermentaliti untuk menang PRU, bukan setakat menang jawatan dalam parti sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia, hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian, Mohd. Helmi Buang meminta Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berehat daripada memimpin parti itu dengan rasa hormat kerana pendekatan pemimpin mesti ada perubahan yang ketara mengikut arus zaman.

Menurut Mohd. Helmi berkata, langkah berundur perlu turut sama dilakukan pemimpin-pemimpin UMNO lain yang sudah berpenggal-penggal memegang jawatan kepemimpinan tertinggi sekali gus memberi ruang dan peluang kepada generasi baharu untuk menggalas tanggungjawab itu.

Bagaimanapun, Mohamad Fazli bersimpati dengan Presiden yang diserang baik dari luar mahu pun dari dalam parti sendiri.

Beliau berpandangan, dalam meraikan pendapat, ahli UMNO perlu mempertahankan istitusi Presiden tidak kira siapa individunya dan beliau yakin Ahmad Zahid berjiwa besar dan mengambil maklum semua isu yang dibangkitkan.

Dalam pada itu, berkata, UMNO perlu ‘move on’ sebagai parti yang segar sepanjang zaman, dibarisi pelapis dalam kalangan orang muda tanpa menidakkan jasa-jasa pemimpin lama.

Ini kerana, katanya, undi automatik 18 tahun merupakan cabaran dan setakat ini belum ada signal positif dari golongan tersebut kepada UMNO.

“Ambil iktibar PRU-14 yang mana kita ditolak oleh rakyat kerana isu-isu yang berlegar pada pemimpin-pemimpin kita. Tak dinafikan itu semua sentimen dan persepsi, tapi kita kena akui kita gagal menguruskannya dan sekali lagi kita gagal menguruskan sekarang,” katanya.

Beliau pada masa sama menyokong kenyataan Mohd. Helmi agar Presiden mengambil langkah berundur, namun ia bergantung kepada keputusan Ahmad Zahid sendiri jika tindakan itu dirasakan terbaik untuk dirinya dan parti.

“Harapan saya, jika itu yang terbaik untuk Presiden dan parti, maka berjiwa besarlah dengan pandangan semua.

“Uruskan persepsi dan sentimen ini dengan baik, jangan sesekali menidakkan sentimen dan persepsi rakyat kerana rakyat mengundi berdasarkan persepsi dan sentimen. Jadikan PRU-14 sebagai tauladan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya