Penghantar barang, makanan persendirian dibenarkan - Utusan Malaysia

Penghantar barang, makanan persendirian dibenarkan

WEE KA SIONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang menggunakan kenderaan sendiri sama ada motosikal atau kereta untuk tujuan menghantar barangan atau makanan secara kecil-kecilan dibenarkan untuk meneruskan aktiviti mereka.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, ini termasuk mereka yang menjalankan secara sambilan atau bebas sebelum kerajaan menetapkan peraturan bersesuaian atas dasar keprihatinan kepada individu yang hilang sumber pendapatan khususnya melibatkan pekerja ekonomi gig akibat pandemik Covid-19.

Langkah itu, kata beliau, bagi membolehkan mereka dapat terus menjalankan aktiviti pekerjaan alternatif dan perniagaan seterusnya menampung kehidupan diri dan keluarga masing-masing.

“Bagi yang menjalankan perkhidmatan kenderaan barangan di bawah kategori Lori pembawa A dan Lori Pembawa C, hendaklah mendapatkan lesen pengendali seperti ditetapkan.

“Pertimbangan ini adalah khusus bagi mengelakkan mereka yang terlibat secara sambilan atau bebas, terhenti daripada menjalankan aktiviti yang mendatangkan sumber pendapatan di dalam tempoh menangani pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Kaa Siong menasihatkan agar mereka yang bekerja sendiri itu mendapatkan perlindungan insurans di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Beliau menjelaskan, bagi pihak-pihak yang dilesenkan (mempunyai Lesen Pengendali atau Lesen Perniagaan Pengantaraan atau lesen kenderaan perdagangan) oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Negeri Sabah dan Sarawak, mereka boleh memohon Lesen Perubahan Sementara (LPS).

Katanya, permohonan lain boleh dibuat iaitu membuat pertukaran sementara penggunaan kenderaan perkhidmatan awam yang akan membenarkan mereka menggunakan kenderaan yang dilesenkan sebagai kenderaan pengangkutan awam untuk digunakan sebagai kenderaan barangan.

“Peraturan dan kaedah permononan mengenai perkara ini boleh diperoleh daripada agensi-agensi yang berkenaan.

“Industri penghantaran barang makanan dan barangan milik pihak ketiga sememangnya mempunyai potensi besar untuk berkembang dengan lebih meluas seterusnya membawa manfaat sosio-ekonomi kepada rakyat Malaysia, terutamanya melibatkan kumpulan B40,” katanya.

Ka Siong berkata, industri perkhidmatan itu telah menjadi satu norma baharu sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan dijangka akan terus berkembang pesat di masa hadapan.

Justeru, beliau meminta kementerian dan agensi-agensi di bawahnya untuk meneliti perkara berkaitan dan membangunkan peraturan yang bersesuaian agar aktiviti perniagaan golongan itu dapat diteruskan dalam persekitaran perniagaan yang dikawal selia di bawah undang-undang berkaitan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya