Pelaksanaan projek HSR beri kesan teruk kepada ekonomi Malaysia - Utusan Malaysia

Pelaksanaan projek HSR beri kesan teruk kepada ekonomi Malaysia

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia menghormati terma-terma perjanjian dua hala Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) untuk mengambil tindakan perlu bagi menentukan jumlah pampasan ekoran penamatan projek berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, terma-terma perjanjian yang ditandatangani pada tahun 2016 dilihat  tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan oleh Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Ini kerana, katanya, pelaksanaan projek itu memberi kesan teruk kepada ekonomi sekali gus menjejaskan kedudukan fiskal negara. 

Apatah lagi katanya, cadangan perubahan keseseluruhan projek tersebut tidak mencapai persetujuan bersama.

Kata beliau, bermula akhir tahun 2018, kerajaan Malaysia meneliti beberapa alternatif bertujuan menurunkan kos keseluruhan projek itu dan menjadi keutamaan kerajaan semenjak pandemik Covid-19 berlaku.

“Lanjutan daripada itu, bermula pertengahan 2020, kerajaan Malaysia mengemukakan beberapa cadangan perubahan bagi mengurangkan kos keseluruhan projek ini. 

“Cadangan-cadangan tersebut termasu perubahan kepada struktur projek, jajaran dan reka bentuk stesen,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kenyataan bersama, Malaysia dan Singapura memutus membatalkan projek HSR selepas tempoh penangguhan projek itu berakhir semalam.

Mengulas lanjut, Mustapa berkata,  struktur projek yang asal memerlukan jumlah Jaminan Kerajaan (Government Guarantees) yang besar untuk tempoh yang panjang. 

Cadangan struktur projek yang baharu itu, katanya,  juga memberi kerajaan fleksibiliti dalam memilih opsyen pembiayaan projek termasuk melalui kaedah pembayaran tertangguh, usaha sama awam dan swasta serta kemungkinan  mendapatkan akses kepada pembiayaan pada kadar yang munasabah.

“Lebih penting lagi, cadangan perubahan struktur projek ini dijangka dapat mempercepat pemulihan ekonomi Malaysia yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Berdasarkan cadangan baharu yang dikemukakan, projek ini akan dimulakan pembinaannya dua tahun lebih awal berbanding perancangan asal sekali gus memberikan rangsangan yang amat diperlukan oleh sektor pembinaan dan juga industri lain yang berkait rapat dengan sektor ini,” katanya. 

Mustapa berkata, mengambil kira perubahan-perubahan itu, kedua-dua negara mengadakan perbincangan sepanjang beberapa bulan  lepas bagi memperjelas pendirian masing-masing. 

Bagaimanapun, kata beliau, tiada persetujuan dicapai mengenai perubahan-perubahan yang dicadangkan. 

“Dengan itu, perjanjian dua hala projek berkenaan luput pada 31 Disember semalam,”  katanya.

Dalam pada itu, Mustapa berkata, kerajaan melaksanakan kajian terperinci yang meliputi kesemua opsyen termasuk daya maju projek keretapi laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

Jelasnya, hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura amat rapat dan terus memperkukuh hubungan itu termasuk mempertingkat kesalinghubungan antara kedua-dua negara demi faedah bersama. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya