Pegawai polis, anggota cawangan FRU ditahan Perhilitan NS - Utusan Malaysia

Pegawai polis, anggota cawangan FRU ditahan Perhilitan NS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dan tujuh anggota dari Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ditaHAN pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dalam satu pemeriksaan di Jalan Besar Kampung Talang, Empangan Talang, dekat sini, kelmarin.

Sumber memberitahu, kesemua mereka ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716) susulan semasa pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk.

Menurutnya, kira-kira pukul 1 petang, pegawai dan anggota penguatkuasaan Jabatan Perhilitan menahan sebuah kenderaan jenis Land Rover mempunyai tulisan polis berwarna merah di jalan besar Kampung Talang dekat sini.

“Kenderaan Land Rover berkenaan membawa bot polis yang digunakan untuk membuat rondaan bulanan di Empangan Kampung Talang. Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki seorang pegawai dan tujuh anggota FRU itu menemukan satu kampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk di tempat duduk belakang,” katanya kepada hari ini.

Sumber itu juga berkata, pegawai polis berkenaan mengakui hidupan liar berkenaan adalah miliknya.

Menurutnya, pegawai polis berusia lewat 30-an berkenaan dan tujuh anggota berusia lingkungan 30-an hingga 50-an berkenaan kini ditahan untuk tujuan siasatan.

“Susulan penahanan ini, sebuah kenderaan jenis Land Rover berwarna merah, sekampit plastik hidupan liar disyaki pelanduk, sebuah tong dan segugus kunci kenderaan dirampas,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berhubung penangkapan yang dibuat Jabatan Perhilitan negeri tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, pegawai dan anggota yang terlibat bukanlah di bawah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

“Saya ingatkan pegawai dan anggota di negeri ini untuk tidak sesekali melakukan kesalahan yang melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya