KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan hanya menyekat aktiviti seharian tetapi juga membongkarkan jenayah sumbang mahram.
Ini berikutan, ramai ahli keluarga berkumpul di rumah semasa tempoh PKP memberi peluang mereka menyedari perubahan sikap mangsa seterusnya mendorong kanak-kanak itu membuat aduan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana menjadi bahan ‘pemuas nafsu’ kepada ahli keluarga sendiri
Lebih mengejutkan, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan mendedahkan kepada Utusan Malaysia bahawa kebanyakan kes yang dilaporkan pertama kalinya berlaku lima hingga enam tahun sebelum itu.

“Sepanjang tahun lalu, sebanyak 259 kes dilaporkan membabitkan kes sumbang mahram di seluruh negara. Secara puratanya, sepanjang pelaksanaan PKP pada Mac lalu, jenayah sumbang mahram menunjukkan penurunan.
“Cuma ada beberapa negeri kes sumbang mahram menunjukkan sedikit peningkatan mungkin kerana ramai mangsa mula berani tampil membuat laporan selepas mereka mula terbuka cerita kepada ahli keluarga ketika pelaksanaan PKP.
“Masa PKP ahli keluarga ramai berkurung di rumah jadi secara tidak sengaja ada mangsa yang tidak sengaja terbocor rahsia pernah jadi mangsa sumbang mahram,” kata beliau ketika wawancara secara dalam talian semalam.
Mengulas lanjut, kata Siti Khamsiah, berdasarkan analisis, PDRM mendapati, majoriti menjadi mangsa kepada ahli keluarga sendiri termasuk pelakunya membabitkan ayah kandung.
Jelas beliau, ini kerana pada peringkat umur tersebut, mangsa-mangsa ini berkemungkinan tidak terdedah mengenai aktiviti seksual atau takut mahu membuat laporan polis kerana perlakuan itu melibatkan ahli keluarga.
Bagaimanapun, menurut beliau, hanya selepas memasuki peringkat umur belasan tahun, baru mangsa ada keberanian membuat laporan polis kerana mula mendapat pendedahan mengenai seksual di sekolah dan mempunyai rakan-rakan yang boleh berkongsi cerita.
“Ada kes diterima terdapat ahli keluarga terutamanya ibu mangsa sendiri tidak menyedari anaknya dirogol namun ada juga kes perbuatan itu disedari oleh si ibu namun sengaja buat tidak tahu kerana sanggup mengorbankan anak kerana tidak mahu suaminya ditahan,” kata beliau.
Tegas Siti Kamsiah, mana-mana individu yang mengetahui berlaku jenayah seksual terhadap mana-mana mangsa tetapi tidak mengambil tindakan melaporkan kepada polis, individu berkenaan juga boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 19, di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu akta sama diperuntukkan kepada pesalah seksual.
“Kebanyakan kes yang berjaya dituduh adalah kes-kes yang melibatkan laporan dibuat segera sebaik sahaja kejadian sumbang mahram itu berlaku. Dalam pada masa, mangsa juga turut mendedahkan kejadian turut berlaku beberapa tahun sebelum itu.
“Terdapat juga kes yang mana pelaku mengakui terlibat dalam jenayah terbabit susulan pembongkaran tersebut meskipun jenayah itu telah lama berlaku dan ini sekali gus antara faktor penyumbang kepada pertuduhan dan sabitan kes,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Siti Kamsiah memberitahu, berdasarkan Statistik sebanyak 825 kes sumbang mahram dilaporkan di seluruh negara sejak 2018 sehingga tahun lalu.
Kata beliau, daripada jumlah itu, kes tertinggi dilaporkan pada tahun 2019 apabila sebanyak 300 kes diterima diikuti pada tahun 2018 (266 kes) manakala tahun lalu hanya 259 kes dilaporkan.
“Dalam tempoh sama, sebanyak 861 kanak-kanak berusia enam sehingga 18 tahun menjadi mangsa sumbang mahram dengan kes paling tinggi membabitkan remaja belasan tahun yang dirogol.
“Bapa kandung mencatatkan paling ramai terlibat apabila sebanyak 225 individu ditahan, diikuti bapa tiri (188 orang), bapa saudara (159 orang) dan abang (90 orang),” jelasnya.- UTUSAN










