Mohon kebenaran kerajaan benar operasi - Utusan Malaysia

Mohon kebenaran kerajaan benar operasi

SALAH sebuah premis cuci kereta milik Azahar Yaakob di Setia Alam, Selangor yang beroperasi sebelum pelaksanaan PKP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua seakan-akan membunuh industri cuci kereta berikutan premis itu tidak dibenarkan beroperasi.

Azahar Yaakob,44, berkata, dia mempunyai empat cawangan pusat cuci kereta di Setia Alam dan Kapar, namun semuanya ditutup berikutan pelaksanaan PKP.

Menurut pemilik Flash Shine Car Wash u, kedainya bukan sahaja menjalankan perniagaan cuci kereta tetapi memberikan perkhidmatan pembersihan dan disinfeksi serta menjual peralatan ganti kenderaan.

“Apabila kerajaan membenarkan operasi perniagaan, saya mendapatkan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan mendapat kebenaran beroperasi.

“Namun, dua cawangan saya dikenakan saman oleh pihak berkuasa walaupun mempunyai surat daripada MITI dua minggu lalu. Saya kesal kerana tindakan saman terus dikeluarkan tanpa memberi sebarang amaran.

“Sebagai peniaga, saya mengikut peraturan dengan memohon surat daripada kerajaan, namun pihak berkuasa dilihat tidak bertolak ansur,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurut Azahar, dia juga kesal kerana perniagaan cuci kereta juga adaah antara industri yang membantu dalam menghentikan penularan Covid-19.

“Kami melakukan perkhidmatan disinfeksi kepada semua kenderaan termasuk pemandu e-hailing yang membawa ramai orang dan berdepan dengan risiko Covid-19.

“Kerajaan seharusnya mempertimbangkan pembukaan kedai-kedai cuci kereta ini kerana perkhidmatan diberikan tidak mengambil masa yang lama,” ujarnya.

Sementara itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Silaturahim Brotherhood memaklumkan pihaknya menerima banyak aduan daripada pengusaha cuci kereta dan pemandu e-hailing.

Pengasasnya, Azlan Sani Zawawi berkata, kerajaan seharusnya tidak berat sebelah dan mengetahui lebih terperinci industri mana yang dibenarkan beroperasi ketika pelaksanaan PKP.

“Kita telah berhadapan dengan PKP kali kedua, namun pada kali ini agak bercelaru kerana sepatutnya kedai cuci kereta dibenarkan kerana segelintir daripadanya telah menanggung kerugian sejak tahun lalu.

“Industri cuci kereta ini antara yang membantu dalam mengekang penularan Covid-19. Kita tidak mahu keputusan kerajaan ini mengakibatkan lebih ramai peniaga guling tikar,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya