Masih ramai nelayan ingkar guna bubu naga - Utusan Malaysia

Masih ramai nelayan ingkar guna bubu naga

MARITIM Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis merampas 20 set bubu naga bernilai RM2,400 di kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika daripada barat laut muara Sungai Kurung Tengar, Kuala Perlis..- UTUSAN ONLINE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melupuskan sebanyak 170 set bubu naga bernilai RM17,000 membabitkan rampasan sepanjang tahun 2019 di perairan negeri ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, segelintir nelayan di negeri ini didapati masih menjalankan kegiatan penangkapan ikan menggunakan bubu naga, meskipun penggunaannya diharamkan abatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018.

“Tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa.

“Maritim Malaysia memandang serius aktiviti penangkapan hasil laut secara salah dan dilarang ini.

“Walaupun banyak rampasan bubu naga dilakukan, aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan dengan menggunakan kaedah rawa sorong, penangkapan ikan di luar kawasan dibenarkan serta pencerobohan bot nelayan asing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shafie memberitahu, pihaknya merampas 20 set bubu naga dianggarkan bernilai RM2,400 di kedudukan kira-kira 1.0 batu nautika dari barat laut muara Sungai Kurung Tengar, Kuala Perlis di sini kira-kira pukul 3.35 petang semalam.

Katanya, bubu tersebut dikesan bot peronda Maritim Malaysia yang melaksanakan Op Benteng Laut di perairan negeri ini melalui pancang-pancang kayu mencurigakan di permukaan air.

Jelasnya, hasil tinjauan mendapati, pancang kayu tersebut adalah penanda lokasi bubu naga dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM2,400 itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis serta diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah tidak dibenarkan.

“Penggunaan bubu naga boleh mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah masuk ke perangkap jaring terbabit dan menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya