TAMPIN: Seorang mangsa kemalangan mahu menderma darah sebanyak 100 kali sebelum usianya mencecah 60 tahun sebagai sumbangan membantu orang lain yang memerlukan darah.
Lau Tien Han, 53, dari Taman Sri Mutiara dekat sini berkata, sebagai seorang yang pernah menerima tiga pek darah semasa menjalani pembedahan patah kaki kiri selepas terbabit kemalangan di Melaka pada 1992, dia nekad untuk sentiasa menderma darah pula.
Dia yang sudah menderma darah sebanyak 65 kali berkata, orang ramai perlu terus membantu dengan menderma darah terutama ketika ini di mana simpanan tabung bekalan darah negara sentiasa berada dalam paras rendah.
“Sejak pendemik Covid-19 bermula Mac tahun lalu, simpanan tabung bekalan darah negara sentiasa berada dalam paras rendah kerana orang ramai takut untuk keluar menderma darah. Apa yang penting kita jaga prosedur operasi standard (SOP) semasa pergi ke mana-mana program derma darah atau terus mendermakan darah di hospital terdekat.
“Tindakan kita itu banyak membantu menyelamatkan nyawa orang lain. Setiap hari, bekalan darah amat diperlukan untuk mangsa kemalangan dan orang sakit,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia sempena Program Derma Darah anjuran Lions Club Tampin dengan kerjasama Hospital Tampin, di Dewan Anggerik, Kuarters Staf Hospital Tampin dekat sini semalam.
Bagi seorang lagi penderma, Wong Moon Ying, 53, tiga anak perempuannya yang berusia 19 hingga 25 tahun kini merupakan penderma darah tetap.
Menurutnya, hanya isterinya tidak dapat mendermakan darah berikutan berat badan isterinya itu tidak mencapai 45 kilogram.
“Saya sudah derma darah sejak 30 tahun lalu ketika saya masih lagi remaja. Kini saya didik anak-anak saya untuk sama-sama menderma darah supaya dapat membantu menyelamatkan nyawa orang lain.
“Saya harap orang lain juga akan sama-sama mendidik anak masing-masing untuk keluar menderma darah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










