KANGAR: Ketika banyak sektor perniagaaan mengalami kemerosotan teruk berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berbeza dengan peniaga komputer riba yang mendapat sambutan hebat kebelakangan ini.
Peranti tersebut khususnya komputer riba mula menjadi keperluan sejak bermulanya sesi persekolahan minggu lalu apabila pelajar perlu melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Mahu tidak mahu, ibu bapa perlu membeli komputer riba demi anak-anak. Komputer riba terpakai antara pilihan ramai ibu bapa berikutan harganya lebih murah berbanding komputer baharu.
Pemilik I DID Solution di Kangar, Mohd. Aidid Abu Bakar,30, berkata, dalam tempoh beberapa minggu lalu, sudah lebih 90 komputer riba terpakai di kedainya terjual.
Katanya, antara komputer riba terpakai yang menjadi pilihan ialah jenis NEC dan Fujitsu berikutan harganya serendah RM660.
“Kebanyakan pelanggan yang kurang mampu tetapi ada anak ramai mereka boleh menjimatkan kos dengan pembelian komputer tersebut untuk anak-anak yang perlu belajar secara dalam talian.
“Sejak minggu lalu, orang ramai mula memenuhi kedai bagi membeli komputer riba.
“Ada pelanggan yang minta kurang harga dan kami memberinya kerana faham ramai keluarga memerlukan khususnya mereka yang ada anak ramai,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Ridhuan Ab. Wahab,39, berkata, dia yang ada dua anak berusia 10 dan 12 tahun sebelum ini hanya berkongsi telefon pintar miliknya untuk belajar secara dalam talian.
Katanya, melihat kesukaran tersebut, dia mengambil keputusan membeli sebuah komputer riba terpakai untuk kemudahan anak-anak.
“Buat sementara waktu ini, saya hanya membeli sebuah komputer riba dan apabila mempunyai lebih modal selepas ini, saya akan membeli sebuah lagi untuk anak-anak.
“Saya melihat kesukaran anak-anak belajar secara dalam talian terutama apabila capaian internet yang lemah.
“Malah, saya dan isteri yang bekerja menyebabkan anak-anak perlu berdikari belajar di rumah.
“Dengan ada komputer riba ini, diharap ia akan lebih memudahkan anak-anak belajar,” kata Ridhuan. – UTUSAN











