Keluarga tergamam dapat panggilan adik lemas - Utusan Malaysia

Keluarga tergamam dapat panggilan adik lemas

GAMBAR kenangan Muhammad Naqiuddin Adnan yang ditemukan lemas ketika menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam parit di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja, Batu Pahat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Keluarga Muhammad Naqiuddin Adnan yang di­temukan lemas di Kampung Parit Haji Ali Laut, Parit Raja di sini, kelmarin tergamam ketika menerima panggilan telefon da­ripada jiran mereka yang memaklumkan remaja itu hanyut di parit berdekatan.

Abang sulung Muhammad Naqiuddin iaitu Mohd. Zulhaz­mi, 25, berkata, dia dan ibu ba­pa­nya berada di tempat kerja semasa kejadian apabila jiran memaklumkan adiknya hilang dibawa arus deras.

Katanya, seluruh keluarga terkejut menerima perkhabaran itu, namun masih menaruh ha­rapan dan tidak putus-putus ber­doa supaya Muhammad Na­qiuddin yang lebih mesra dipanggil Apis ditemukan.

“Sebelum kejadian, ayah pulang sebentar pada waktu tengah hari dan memak­lumkan Apis bersama adik bongsu saya, Akmal Muzakir yang berusia 12 tahun berada di rumah.

“Saya pula kali terakhir berjumpa dengan arwah pada se-b­­e­lah pagi sebelum keluar ber­kerja. Tak sangka mereka bersama kawan-kawan pergi bermain di parit berdekatan kawasan rumah,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, seorang remaja lelaki berusia 16 tahun berkorban nyawa menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam parit selepas mereka mandi-manda di kawasan itu.

Dalam kejadian pukul 5 petang kelmarin, Muhammad Naqiuddin bukan sahaja membawa adiknya naik ke tebing parit tetapi turut menyelamatkan dua lagi rakannya yang nyaris lemas, namun dia ha­nyut dibawa arus deras selepas itu.

Menurut Mohd. Zulhazmi, walaupun adiknya ditemukan dalam keadaan sudah tidak bernyawa pada pukul 8.47 pagi semalam, mereka sekeluarga reda dan menerima takdir yang ditentukan Ilahi.

“Adik bongsu saya yang ter­selamat dalam tragedi itu tenang, namun masih trauma kerana dia rapat dengan arwah abangnya itu. Kami menganggap Apis sebagai hero yang hebat buat kami sekeluarga kerana menyelamatkan adiknya,” katanya.

Jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Parit Raja, semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN