Kaji semula keputusan tidak isytihar Thaipusam cuti umum - Utusan Malaysia

Kaji semula keputusan tidak isytihar Thaipusam cuti umum

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Pergerakan Pemuda MIC Kedah mengesa kerajaan negeri ini mengkaji semula keputusan tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum pada tahun ini. 

Ketuanya, J. Jeevabalan berkata, pihaknya menganggap keputusan kerajaan negeri itu seolah-olah tidak menghormati sensitiviti masyarakat kaum India di negeri ini.

Menurutnya, tindakan Menteri Besar, Muhammad Sanusi yang sering membandingkan komposisi masyarakat India sebanyak 6.8 peratus di Kedah dan mengetepikan hak mereka mengguris hati kaum itu.

“Saya kesal terhadap tindakan diambil oleh kerajaan negeri kerana Thaipusam merupakan cuti peristiwa bagi negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

“Walaupun pada masa ini seluruh negara dilaksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan Covid-19,  ini tidak bermakna Thaipusam ini tidak boleh diraikan di rumah bersama ahli keluarga,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri memutuskan  untuk tidak mengisytiharkan Thaipusam sebagai cuti umum.

Jeevabalan menambah, setiap perayaan atau hari keagamaan tidak terbatal walaupun negara pada masa ini diancam dengan penularan Covid-19 kerana setiap perayaan mempunyai nilai tersendiri bagi sesuatu kaum.

“Persoalannya, apakah logik yang diguna pakai oleh Menteri Besar tidak mengisytiharkan cuti peristiwa sempena Thaipusam dalam tempoh PKP ini, memandangkan perayaan atau hari keagamaan masih boleh berjalan seperti biasa, namun cara dan kaedahnya mungkin berbeza pada tempoh Pandemik Covid-19 ini,” ujarnya.

Jeevabalan berkata, Pergerakan Pemuda MIC Kedah ini juga meminta penjelasan mengenai keputusan kerajaan negeri tidak meneruskan pemberian cuti peristiwa sempena Thaipusam pada tahun ini.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya