Johor lantik wanita kedua jadi Pegawai Daerah - Utusan Malaysia

Johor lantik wanita kedua jadi Pegawai Daerah

AZMI ROHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Pengerang, Hazlina Jalil dilantik menjadi Pegawai Daerah Kota Tinggi sekali gus mencatat sejarah selaku wanita kedua di Johor memegangi jawatan itu selepas kali terakhir diisi pada 1990.

Beliau antara 58 pegawai tadbir negeri yang terlibat dalam rombakan berkuat kuasa 1 Februari ini bagi mengisi kekosongan jawatan berikutan persaraan wajib dan kenaikan pangkat beberapa orang pegawai kanan lain.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azmi Rohani berkata, rombakan kali ini turut melibatkan bilangan pegawai tadbir wanita seramai 12 orang dengan enam daripadanya dilantik memegang jawatan utama.

Kata beliau, mereka termasuk Shubanah Yusuf yang dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Bahagian Pemantauan dan Kesejahteraan Rakyat) dan Nor Azleena Abdul Rahman sebagai Jurutulis Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor.

“Hazlina dilantik sebagai Pegawai Daerah Kota Tinggi bagi menggantikan Farizal Ismail menerajui Institut Dato’ Onn selaku Pengarah. Jawatan YDP Majlis Perbandaran Kluang pula disandang Norliyati Md. Nor selain Natazha Hariss sebagai YDP Majlis Perbandaran Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Terdahulu, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Datuk Salehuddin Hasan mengangkat sumpah sebagai Pegawai Kewangan Negeri Johor di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut Azmi, kekosongan jawatan Datuk Bandar MBIP diisi Datuk Mohd. Haffiz Ahmad yang sebelum ini adalah Pegawai Daerah Muar manakala jawatan Pegawai Daerah Muar bakal diganti Mustaffa Kamal Shamsudin yang kini memegang jawatan YDP Majlis Perbandaran Muar.

“Sementara itu, Zulkifly Mohd. Tahir yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Daerah Pontian dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor manakala Zulkiflee Abbas, Pegawai Daerah Batu Pahat bertukar ke Johor Special Water (JSW) sebagai Pengarah Eksekutif,” katanya.

Tambah beliau, Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu dilantik sebagai Pegawai Daerah Batu Pahat dan tempat beliau digantikan Jamaludin A. Hamid, manakala Pegawai Daerah Pontian disandang Mohd. Rafi Abdullah.

Surat pertukaran kepada semua Pegawai Tadbir terlibat diserahkan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, di sini semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya