PETALING JAYA: Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan bahawa pengimport daging bumiputera dinafikan hak dan peluang dalam industri itu sejak sekian lama.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendakwa, industri bernilai berbilion ringgit itu dimonopoli dan dikawal beberapa pengimport bukan bumiputera, sedangkan pasaran terbesar daging halal adalah orang Melayu Islam.
Beliau berkata, lebih menyedihkan ruang dan peluang kepada pengimport bumiputera yang hanya 10 peratus dalam industri itu tertutup akibat ‘permainan’ oleh kartel berkenaan.
Menurutnya, perkara tersebut telah beberapa kali disuarakan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar yang meluluskan permit import tetapi tidak ada perubahan.
“Masa saya di kementerian dulu, saya persoalkan banyak kali kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar. Saya tak puas hati kenapa share impot daging bumiputera hanya 10 peratus daripada jumlah import.
“Saya luluskan satu syarikat eksport di India untuk memberi peluang kepada syarikat pengimport bumiputera. Syarikat di India yang sedia ada tak boleh diharap, mereka sudah berpakat dengan pengimport bukan bumiputera.
“Mereka memonopoli hampir 90 peratus import daging ke Malaysia. Bila ada pengimport bumiputera yang mahu berurusan, mereka tak mahu layan kerana sudah ada deal dengan pengimport bukan bumiputera,” katanya ketika dihubungi semalam.
Sejak 4 Januari lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.
SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, sebanyak 27 saksi terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan dipanggil bagi membantu siasatan.
Ditanya mengenai perancangannya andai masih menjawat portfolio itu, Tajuddin berkata, pihaknya berhasrat mewujudkan kuota khas bumiputera sama seperti yang diimplementasi pada Lesen Import (AP) kenderaan.
“Saya berkali-kali buat penegasan berkenaan perlunya sistem kuota supaya ada keadilan di antara pengimport bumiputera dan bukan bumiputera. Cara yang boleh diguna pakai sama seperti kuota AP kenderaan.
“Cara itu telah terbukti berhasil contohnya syarikat Naza. Dari segi kehalalan pula, saya minta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) buat pemeriksaan secara berkala di pusat-pusat sembelihan, bukan sekadar bagi perakuan halal, kemudian lima tahun baru pergi periksa semula,” tegasnya. -UTUSAN










