fbpx

6 Mac 2021, 1:50 pm

  TERKINI

Ibu tunggal bimbang anak ketinggalan PdPR

SITI Rohana Mohammad membantu anak-anaknya belajar di rumah walaupun berdepan dengan masalah gajet yang terhad di Kampung Mahawangsa, Pendang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDANG: Seorang ibu tunggal bimbang tiga anaknya ketinggalan dalam pelajaran apabila terpaksa berkongsi telefon pintar miliknya untuk mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

Siti Rohana Mohammad, 47, berkata, dia tidak mampu untuk menyediakan gajet buat setiap anaknya yang masih bersekolah iaitu Muhammad Firdaus Al-Thaf, 7, Muhammad Fahmi, 10, dan Intan Zarif Alia, 13.

“Selain itu, saya juga terpaksa membeli data internet bagi memastikan anak-anak saya dapat mengikuti kelas dalam talian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mahawangsa, Mukim Padang Peliang dekat, semalam.

Katanya, dia tidak bekerja kerana perlu menjaga anak ketiganya, Muhammad Afiq Ikhmal Zakaria, 23, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) kategori penyakit saraf.

“Saya hanya mengharapkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sebanyak RM350 untuk beli keperluan Afiq yang mengalami penyakit saraf seperti lampin pakai buang, susu khas dan ubat.

“Bantuan zakat RM100 seorang untuk anak kelima Muhammad Fahmi,10, dan bongsu yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Siput digunakan untuk per­belanjaan seharian kami sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, kesukaran yang dialami dua anak lelaki yang bersekolah di SK Sungai Siput dan Intan Zarif Alia, 13, pelajar Sekolah Agama Islahiah Islamiah di Lubok Merbau adalah apabila terpaksa berkongsi telefon pintar pada sesi PdPR.

“Salah seorang anak saya terpaksa menunggu sehingga selesai proses PdPR dua anak yang lain sedangkan sesi pembelajaran berlangsung pada masa sama iaitu antara pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kadang-kadang saya terpaksa pinjam telefon pintar adik saya bagi memudahkan mereka belajar,” ujarnya.

Tambahnya, dua anak lelaki­nya, Muhammad Zarul Afifi, 28, dan Muhammad Ridzuan, 27, yang bekerja sebagai buruh juga tidak mampu membeli gajet untuk ke­gunaan adik-adiknya. -UTUSAN